BUENOS AIRES: Seorang pegawai polis Argentina didapati bersalah bagi penyalahgunaan kuasa pada Isnin selepas membebaskan empat suspek jenayah dari sel tahanan untuk bekerja sebagai tukang masak, pelayan dan tukang cuci semasa majlis perkahwinannya.
Menurut Utusan Malaysia, media tempatan melaporkan, kejadian berlaku tahun lalu apabila pegawai itu membenarkan keempat-empat lelaki tersebut pergi ke lokasi majlis yang terletak kira-kira satu blok dari balai polis tempat mereka ditahan.
Seorang daripada mereka dilaporkan ditugaskan memanggang kambing.
Namun, tidak disebutkan jenis kesalahan sehingga menyebabkan keempat-empat tahanan tersebut dipenjara.
Selepas majlis tamat, kesemua lelaki tersebut kembali semula ke sel tahanan tanpa sebarang insiden, lapor akhbar El Diario de La Pampa.
“Dia (pegawai polis) bernasib baik kerana tiada seorang pun yang melarikan diri,” kata pendakwa raya Guillermo Sancho kepada laman berita Infobae.
Bagi kesalahan tersebut, pegawai tersebut dikenakan hukuman penjara 15 bulan yang ditangguhkan atas kesalahan menyalahgunakan kuasa.


































