Dr. Mohd Uzir Mahidin
PETALING JAYA: Jumlah penduduk Malaysia dijangka mencapai tahap kemuncak seramai 42.38 juta orang pada tahun 2059, sebelum menunjukkan trend penurunan bermula 2060.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu dinyatakan dalam laporan Unjuran Penduduk 2030–2060 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penduduk Malaysia diramalkan terus meningkat sehingga 2059, namun kadar pertumbuhan tahunan akan semakin perlahan dan akhirnya menunjukkan trend menurun.
“Penduduk negara ini diunjurkan mencecah 36.49 juta pada 2030, meningkat kepada 39.78 juta (2040) dan 41.79 juta (2050) sebelum mencatat angka tertinggi pada 2059.
“Penduduk dijangka menurun secara perlahan selepas mencapai kemuncak pada 2059 iaitu kepada 42.37 juta pada 2060, 42.08 juta (2065) dan 41.43 juta pada 2070.
“Kadar pertumbuhan tahunan pula dijangka menyusut daripada 1.7 peratus pada 2020 kepada hanya 0.1 peratus menjelang 2060,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, laporan tersebut turut menunjukkan Selangor kekal sebagai negeri paling ramai penduduk pada 2060 dengan 8.10 juta orang, diikuti Johor (4.99 juta) dan Sabah (4.89 juta).
Beberapa negeri seperti Kelantan, Pahang, Perak, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dijangka terus mencatat pertambahan penduduk dalam tempoh 40 tahun akan datang hingga tahun 2060.
Peratusan penduduk berusia 0 hingga 14 tahun dijangka terus menurun daripada 24 peratus (2020) kepada 16 peratus pada 2060.
Bagi kumpulan umur 15 hingga 64 tahun, peratusan diramalkan meningkat kepada 70.8 peratus pada 2030 berbanding 69.2 peratus pada 2020.
Bagaimanapun, angka itu dijangka menurun selepas 2040 dan menyusut kepada 65.7 peratus pada 2060.
Pada masa sama, penduduk berumur 65 tahun dan ke atas dijangka meningkat secara drastik kepada 18.3 peratus pada 2060, berbanding hanya 6.8 peratus pada 2020.
“Malaysia telah menjadi negara menua pada tahun 2021 apabila penduduk berumur 65 tahun dan ke atas melepasi tujuh peratus.
“Kita dijangka mencapai status Negara Tua menjelang 2048 apabila kumpulan umur itu melepasi 14 peratus,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan Dasar Warga Emas Negara (DWEN), sesebuah negara dianggap sebagai negara menua sekiranya 15 peratus penduduknya berumur 60 tahun ke atas dan Malaysia dijangka mencapai tahap tersebut pada tahun 2036.
“Laporan unjuran ini memberi gambaran awal terhadap arah aliran perubahan penduduk negara, sekali gus membantu perancangan dasar dan pembangunan negara dalam tempoh jangka panjang,” ujarnya.
































