James (tiga dari kiri) dan Raisin (dua dari kiri) semasa kunjungan hormat tersebut.
KOTA KINABALU: Penguasaan Bahasa Inggeris perlu diberikan perhatian khusus sebagai antara agenda penting dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuh daya saing modal insan di Sabah, kata Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib.
Beliau berkata, kemahiran berbahasa Inggeris yang baik merupakan antara keperluan penting yang perlu dikuasai generasi muda bagi membolehkan mereka bersaing dalam dunia yang semakin mencabar dan berdaya saing tinggi.
“Kerajaan Negeri komited untuk terus memperkukuh aspek penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sebagai pelengkap kepada kecemerlangan akademik. Langkah ini penting dalam melahirkan generasi Sabah yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran global pada masa hadapan,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin yang membentangkan pencapaian keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 serta perkembangan prestasi pendidikan negeri.
Menurut James, kecemerlangan akademik perlu diseimbangkan dengan penguasaan kemahiran komunikasi dan bahasa yang baik bagi melahirkan modal insan berkualiti serta memenuhi keperluan pasaran pekerjaan masa kini.
Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) supaya terus merangka dan memperkukuh pelbagai program serta aktiviti yang dapat meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid dan pelajar di semua peringkat pendidikan.
Katanya, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) akan memberikan sokongan penuh terhadap usaha tersebut bagi memastikan pelaksanaannya lebih berimpak dan menyeluruh.
Dalam sesi pembentangan itu, Raisin memaklumkan bahawa prestasi STPM Sabah terus menunjukkan peningkatan apabila Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) negeri meningkat kepada 2.78 pada tahun 2025 berbanding 2.77 pada tahun sebelumnya.
Selain itu, bilangan calon yang memperoleh PNGK 4.00 turut meningkat kepada 158 orang berbanding 146 orang pada tahun 2024, manakala peratus kelulusan penuh mencatat peningkatan kepada 98.87 peratus.
Pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan warga pendidik, pelajar serta sokongan ibu bapa dalam memperkukuh kecemerlangan akademik di Sabah.
Mengulas pencapaian itu, James merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh calon STPM 2025 Negeri Sabah atas kejayaan yang membanggakan.
Beliau turut memberikan penghargaan khusus kepada Ahmad Mursyied Umair Darwis dari SMK (Agama) Kota Kinabalu yang mengharumkan nama Sabah apabila dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi Aliran Sains Sosial.
Menurutnya, kejayaan tersebut membuktikan bahawa anak-anak Sabah memiliki potensi besar untuk mencapai kecemerlangan tertinggi serta mampu bersaing dengan pelajar terbaik di negara ini apabila diberikan peluang, bimbingan dan sokongan yang sewajarnya.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada para guru, pentadbir sekolah dan ibu bapa atas dedikasi serta komitmen mereka dalam membimbing dan menyokong kecemerlangan pelajar sehingga berjaya mengangkat martabat pendidikan Sabah di peringkat kebangsaan.
Turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah Timbalan Pengarah JPNS, Hajah Nurani Fauziah Derin; Ketua Penolong Pengarah Kanan JPNS, Norah Marcus; Ketua Penolong Pengarah JPNS, Abdul Gaur Wahed; serta Penolong Pengarah JPNS, Awang Majin Hassan dan Syapiei Mohamad.
































