Madius (tengah) dan Fredian (dua dari kanan) menyerahkan Sijil Ikrar Bebas Rasuah kepada Mohd Fuad Bee (dua dari kiri) sebagai simbolik komitmen POIC Sabah terhadap amalan integriti dan tadbir urus bebas rasuah, diperhatikan oleh ahli-ahli Lembaga Pengarah POIC Sabah.
KOTA KINABALU: Pengerusi POIC Sabah Sdn. Bhd., Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menegaskan bahawa integriti perlu terus diperkukuhkan dalam organisasi kerana rasuah merupakan musuh kepada kemajuan, keadilan dan masa depan generasi akan datang.
Beliau berkata, ikrar yang dilafazkan oleh warga kerja POIC Sabah bukan sekadar satu formaliti, sebaliknya membawa mesej yang mendalam sebagai manifestasi kesedaran dalaman untuk menolak amalan rasuah dalam apa jua bentuk.
“Integriti bukan sesuatu yang datang dengan sendirinya.
“Ia perlu dibina secara berterusan, diperkukuhkan melalui dasar dan prosedur yang jelas, dan dihidupkan melalui contoh teladan daripada setiap lapisan kepimpinan,” katanya ketika mengetuai Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah melibatkan seluruh warga kerja POIC Sabah di Ibu Pejabat Kumpulan POIC, di sini, hari ini.
Madius berkata, rasuah tidak semestinya berlaku dalam bentuk wang ringgit semata-mata, malah boleh berlaku melalui pelbagai bentuk lain yang menjejaskan integriti organisasi.
Katanya, perbuatan seperti pemberian hadiah yang tidak wajar, penyalahgunaan maklumat sulit atau tindakan yang memberi kelebihan tidak adil kepada pihak tertentu juga merupakan bentuk rasuah yang perlu dielakkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli itu turut menggalakkan warga kerja POIC agar berani tampil melaporkan sebarang perlakuan mencurigakan melalui saluran yang betul.
Beliau menegaskan bahawa tindakan melaporkan rasuah adalah satu keberanian yang mencerminkan rasa tanggungjawab dan kecintaan terhadap organisasi.
“Prinsip yang saya pegang adalah mudah, iaitu lakukan yang betul, walaupun tiada siapa yang melihat.
“Kerana pada akhirnya, integriti adalah tentang siapa kita sebenarnya apabila kita berseorangan,” tegasnya.
Terdahulu, warga POIC Sabah menerima taklimat bertajuk Liabiliti Korporat Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Alexander S. Kunghi.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Timbalan Pesuruhjaya Mohd. Fuad Bee Basrah; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan POIC Sabah, Dato’ Dr. Janathan Kandok; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan POIC Sabah, Datuk Fredian Gan; serta ahli-ahli Lembaga Pengarah POIC Sabah.
Hadir sama Pegawai Integriti Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Jennifer Christopher, selain ketua-ketua jabatan dan kakitangan POIC Sabah.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran turut merakamkan penghargaan kepada SPRM Sabah atas kerjasama dan perkongsian ilmu yang diberikan kepada POIC Sabah.
Beliau berharap hubungan baik antara kedua-dua pihak akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan dalam usaha memperkasakan budaya integriti dan tadbir urus yang baik.
Sesi lafaz ikrar itu disusuli dengan majlis menandatangani Sijil Ikrar Bebas Rasuah oleh Madius bersama Fredian yang disaksikan oleh Mohd. Fuad Bee.
Sijil tersebut kemudiannya diserahkan kepada Mohd. Fuad Bee sebagai simbolik komitmen POIC Sabah untuk terus mengamalkan budaya kerja berintegriti serta mengekalkan organisasi yang bebas daripada rasuah.
































