Masiung menyampaikan amanat semasa merasmikan pejabat baharu Gagasan Rakyat Lamag.
SANDAKAN: Parti-parti tempatan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia menyahut cabaran Umno/Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, misi utama GRS yang diterajui Gagasan Rakyat adalah untuk memenangi kerusi Lamag yang dipegang pembangkang.
“Saya melihat aura politik di Sabah, khususnya di Lamag, semakin jelas memihak kepada parti-parti tempatan,” katanya semasa merasmikan pejabat baharu Gagasan Rakyat Bahagian Lamag yang diketuai Abu Bakar Gapar di Bukit Garam, di sini, kelmarin.
Masiung berkata, berdasarkan komitmen tinggi ditunjukkan Gagasan Rakyat di Lamag, beliau yakin calon tempatan mewakili GRS mampu menawan kawasan Umno itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu turut memberi jaminan bahawa GRS akan meletakkan calon terbaik untuk memastikan kemenangan di Lamag dalam PRN akan datang.
“Saya melihat jentera tiga sayap utama, Pemuda, Wanita dan Beliawanis telah mula digerakkan secara aktif di seluruh kawasan Lamag.
“Malah, ketiga-tiga sayap ini juga telah diselaraskan mengikut saluran Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing,” katanya.
Beliau turut menggesa agar jentera tiga sayap utama tidak lalai dalam melaksanakan tanggungjawab, serta sentiasa mematuhi arahan dan strategi yang digariskan oleh kepimpinan tertinggi parti dari semasa ke semasa.
Menurutnya, jentera Bahagian Gagasan Rakyat juga perlu memperkukuh semangat kekeluargaan dan kerjasama dengan parti-parti komponen dalam GRS bagi memenangi hati pengundi di Lamag.


































