Zulkarnain Mahdar
KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) meminta Kementerian Pengangkutan memberikan penjelasan terperinci berhubung cadangan pelaksanaan cukai jalan berdasarkan lokasi utama penggunaan kenderaan yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Kerajaan perlu menjelaskan sama ada cadangan itu akan memberi kesan kepada rakyat Sabah dan Sarawak yang bekerja, melanjutkan pengajian atau menetap di Semenanjung Malaysia tetapi masih menggunakan kenderaan yang didaftarkan secara sah di negeri asal mereka.
Menurut beliau, walaupun Kerajaan mempunyai alasan untuk menangani penyalahgunaan pendaftaran kenderaan bagi mendapatkan kadar cukai jalan yang lebih rendah, pelaksanaan dasar baharu itu tidak boleh mengabaikan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung atas faktor pekerjaan, pendidikan atau urusan keluarga.
Katanya, rakyat Sabah dan Sarawak adalah warganegara Malaysia yang mempunyai hak yang sama untuk bekerja, belajar dan menetap di mana-mana bahagian negara.
“Sebarang dasar baharu tidak seharusnya meletakkan beban tambahan kepada mereka hanya kerana faktor lokasi pekerjaan atau tempat tinggal semasa.
“Kerajaan perlu menjelaskan sama ada anak Sabah dan Sarawak yang bekerja atau belajar di Semenanjung akan dikenakan kadar cukai jalan yang lebih tinggi walaupun kenderaan mereka didaftarkan secara sah di negeri asal masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Zulkarnain berkata, persoalan utama bukanlah mengenai individu yang sengaja mengambil kesempatan terhadap perbezaan kadar cukai jalan, sebaliknya bagaimana Kerajaan akan memastikan rakyat Sabah dan Sarawak yang sah tidak terjejas oleh pelaksanaan dasar baharu tersebut.
Beliau berkata, Kerajaan perlu memberi jaminan bahawa golongan itu tidak akan menjadi mangsa kepada pelaksanaan dasar baharu yang bertujuan menangani penyalahgunaan oleh pihak tertentu.
“Mereka tidak seharusnya dihukum hanya kerana mencari rezeki atau melanjutkan pelajaran di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, sebarang perubahan dasar yang melibatkan kadar cukai jalan perlu dilaksanakan secara adil serta mengambil kira realiti mobiliti rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar merentasi wilayah.
Sehubungan itu, G57 menggesa Kementerian Pengangkutan mengadakan sesi penerangan dan libat urus yang menyeluruh bersama kerajaan negeri, pertubuhan masyarakat serta rakyat Sabah dan Sarawak sebelum sebarang pindaan undang-undang dibentangkan di Parlimen.
Beliau berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan semua pihak yang berpotensi terkesan diberi peluang untuk memahami cadangan berkenaan serta menyuarakan pandangan mereka sebelum keputusan muktamad dibuat.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan dilaporkan berkata, Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mengenakan cukai jalan berdasarkan lokasi utama penggunaan kenderaan bagi menangani isu sesetengah pemilik kenderaan yang mendaftarkan kenderaan mereka di Sabah dan Sarawak bagi menikmati kadar cukai jalan yang lebih rendah.
Cadangan itu bagaimanapun menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak, khususnya mereka yang bekerja, belajar atau menetap di Semenanjung Malaysia tetapi masih menggunakan kenderaan yang didaftarkan secara sah di negeri asal masing-masing.
































