Tertuduh diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka kerana membelasah isterinya hingga parah.
MELAKA: Seorang kontraktor dipenjara sehari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memukul isterinya hingga parah, tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman membuat keputusan itu selepas tertuduh, See Yong Fei, 36, menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap isterinya berusia 39 tahun dengan cara memukul dan menumbuk bahagian muka dan tangan serta menendang bahagian belakang badan, menyebabkan patah di beberapa anggota badan.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11.28 malam di Taman Desa Bertam dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Mei 2024.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak memukul isterinya kerana berang wanita itu keluar rumah tanpa izin untuk pergi ke pasar, selain melarang mangsa bergaul dengan orang lain.
Setibanya di rumah, mangsa telah dipukul dan ditendang menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan parah pada bahagian muka serta badan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kecederaan mangsa.
Peguam Kelvinder Singh Sidhu merayu hukuman penjara dan denda minimum dengan alasan anak guamnya menyara lima anak yang masih kecil dan bekerja sebagai kontraktor dengan pendapatan RM3,000 sebulan.
Peguam Kent Tan Chow Teng turut hadir pada prosiding selaku peguam pemerhati bagi pihak mangsa.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari bermula dari tarikh sabitan 11 Julai 2025 dan denda RM6,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar.
































