REMBAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sudah hampir mencapai kata sepakat berhubung Ambalat iaitu wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun terdapat beberapa perkara termasuk di bahagian teknikal untuk mengenalpasti serta memuktamatkan kaedah kedua-dua negara untuk dapat menikmati hasil bumi yang ada di Ambalat.
“Kajian telah dibuat, di laut situ mempunyai deposit minyak dan gas yang paling banyak, jadi mengapa perlu kita tunggu, kalau nak ikut persempadanan, sampai 20 ke 30 tahun tak boleh tercapai.
“Kawasan ini (Ambalat), kawasan yang sentiasa menjadi pertikaian. Dalam masa yang sama kita rugi, lebih baik kita menghasil usahakan supaya faedah itu dinikmati kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Kaum Ibu Penajes di sini, hari ini.
Menurut Mohamad, kerjasama boleh dibuat antara lainnya dengan mengambil kira autoriti pembangunan bersama seperti di Teluk Siam antara Thailand dan Malaysia.
“Kawasan bertindih, Thailand kata itu dia punya, kita (Malaysia) kata itu kita punya tapi dalam masa yang sama, kita punyai persefahaman, kita bangunkan untuk buat cari gali.
“Kita dapat banyak faedah, Thailand dapat banyak faedah. Bahkan, sumber gas asli cecair (LNG) di kawasan tersebut memang banyak dibekalkan ke negara kita.
“Jadi, ini cara pemikiran baharu kita untuk menghasil usahakan sumber bumi yang ada dan menikmati faedahnya. Kalau nak ikutkan cara berunding, sampai berpuluh tahun, tak mahu berganjak,” katanya.
































