Hajiji disambut para penari budaya cilik semasa Pesta Kaamatan Suang Olung di Kampung Tutu, Selupoh, Tuaran hari ini.
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini merupakan sebuah kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat.
Beliau berkata, pelbagai projek pembangunan dan bantuan telah dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat di Sabah.
Menurutnya, di kawasan Sulaman, banyak projek pembangunan telah disiapkan termasuk pembinaan Rumah Mesra SMJ, naik taraf jalan raya, jambatan serta jeti, dan lebih banyak lagi sedang dalam perancangan.
“Insya-Allah, sekiranya Kerajaan GRS terus diberi mandat untuk mentadbir negeri ini, lebih banyak projek seperti jambatan konkrit Labuaya di sini akan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Pesta Kaamatan Suang Olung 2025, pelancaran Persatuan Pembangunan Lotud Sabah serta perasmian Dewan Orang Tua Kari Bin Guban di Kampung Tutu Selupoh, di sini hari ini.

Hajiji menyaksikan perlawanan akhir gusti lengan.
Dalam ucapannya, Hajiji turut menyeru masyarakat Suang Lotud agar terus bersatu padu.
“Kita mesti kekal bersatu untuk memastikan masa depan masyarakat lebih cerah.
“Saya mahu masyarakat Dusun Suang Lotud di Tuaran ini menjadi satu komuniti yang hebat dan tidak ketinggalan,” katanya.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman berkata, untuk menjadi satu kaum yang hebat, masyarakat Dusun Suang Lotud perlu mengamalkan pemikiran yang positif.
“Dengan cara itu, saya yakin penuh bahawa masyarakat Dusun Suang Lotud boleh setaraf dengan kaum-kaum lain di Sabah,” katanya sambil menambah bahawa komuniti itu juga perlu memastikan budaya dan tradisi mereka terus dipelihara untuk generasi akan datang.

Hajiji menyaksikan demonstrasi tenunan linangkit sempena Pesta Kaamatan Suang Olung.
Pesta Kaamatan Suang Olung 2025 yang dianjurkan oleh SALDA melibatkan sembilan buah kampung iaitu Kampung Tutu, Penampang Baru, Limposu, Roun, Kiwatu, Labuaya, Selupoh, D’Angki dan D’Mulus.
































