Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Amalan menubuhkan dan menyimpan syarikat yang tidak mencatatkan keuntungan perlu dihentikan serta-merta.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan kini memantau ketat perkembangan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, setakat ini hanya sejumlah kecil sahaja syarikat GLIC dan GLC ditutup.
“Tetapi, dengan prinsip ketelusan dan tatakelola, yang ditutup banyak itu di bawah agensi kerajaan, umpamanya syarikat kecil di bawah RISDA atau FELDA yang tidak memenuhi keperluan dan tujuan matlamat asal. Itu dan kalau tidak catat keuntungan, kita tutup.
“Tidak relevan bagi syarikat yang dibuka, kemudian ada ahli lembaga, kemudian ada allowancenya (elaun), (tetapi) syarikatnya rugi.
“Jadi kita rasa ini amalan yang budaya yang tidak memberi manfaat dan harus dihentikan,” katanya di Dewan Negara semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustafa Musa mengenai pencapaian dan keberkesanan fungsi komposisi lembaga pengarah GLIC dan GLC yang ditetapkan pencapaian dan integriti operasi pelaburan dan perkhidmatan.
Perdana Menteri turut memberi jaminan pemantauan terhadap GLIC dan GLC akan terus diperketatkan dari semasa ke semasa.
“Jadi, untuk GLIC dan GLC, saya bagi jaminan ia (pelaksanaannya) lebih keras sekarang ini dan ia turut dijalankan kepada semua agensi-agensi kerajaan di mana sebahagiannya tidak munasabah dipertahankan,” katanya.
Mengenai isu perolehan GLIC dan GLC, Anwar berkata, syarikat membelanjakan RM59 bilion iaitu 32 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan dari 2020 hingga 2024 terhadap syarikat bumiputera termasuk daripada segi peluang pekerjaan, latihan dan pendidikan melalui program pembangunan vendor Bumiputera GLC di Malaysia.
“Contohnya, anak syarikat UEM Group menggunakan rangka kerja Malaysian Productivity Business Excellence untuk membantu perniagaan memperoleh pensijilan seperti ISO dan menyertai anugerah industri seperti Anugerah Kecemerlangan Industri dan Anugerah Kecemerlangan Prestasi Global untuk memperkukuh daya saing mereka di pasaran,” katanya.


































