Julita Majungki
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengalu-alukan kenaikan bayaran interim ke atas Pemberian Khas oleh Kerajaan Persekutuan, namun tetap berpegang teguh untuk mendapatkan 40 peratus hasil bersih Persekutuan di Sabah.
Pembantu Menteri Kewangan I, Datuk Julita Majungki berkata, Kerajaan Negeri menghargai dan bersyukur kepada Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, menerusi Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2024 yang telah diadakan pada 12 September 2024 di Kota Kinabalu, Anwar telah mengumumkan nilai bayaran interim Pemberian Khas untuk Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada RM600 juta pada tahun 2025.
“Ini kerana, beliau telah sebanyak dua kali melaksanakan semakan interim ke atas Pemberian Khas iaitu daripada RM125.6 juta ke RM300 juta dan seterusnya kepada RM600 juta.
“Sesungguhnya, kita mengalu-alukan kenaikan bayaran interim tersebut yang sudah tentunya akan membantu pembiayaan pembangunan di negeri.
“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tetap berpegang teguh untuk mengekalkan formula asal Pemberian Khas seperti yang termaktub di Perkara 112C dan Bahagian IV, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan iaitu dua per lima atau 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan di Sabah,” katanya.
Menurut beliau, rundingan bagi tuntutan mengikut formula pengiraan ini masih menunggu tindakan lanjut Kementerian Kewangan Persekutuan dan beliau percaya rundingan tersebut akan diadakan bersama pihak Kementerian tidak lama lagi.
Julita menjawab soalan lisan daripada Alias Sani (Sekong) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Lamag) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Alias bertanya berapakah jumlah hasil cukai yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan dari Sabah sejak tahun 1974 sehingga tahun 2021, dan berapakah jumlah 40 peratus hasil cukai yang wajib dipulangkan dan diserahkan kembali kepada Sabah, manakala Bung bertanya tentang status perbincangan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berkenaan MA63 yang sepatutnya selesai pada bulan Julai 2024 seperti yang diperjelaskan oleh Menteri semasa sidang DUN yang lalu.
Julita berkata, Kerajaan Negeri tidak mempunyai data lengkap berhubung hasil-hasil yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan di Sabah dan perkara tersebut juga pernah dijelaskan pada Persidangan DUN yang lalu.
“Atas sebab itu, pengiraan hasil bersih Persekutuan mempunyai kekangan kerana Kerajaan Persekutuan belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permohonan perkongsian data yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri telah mengambil pendekatan membuat pengiraan anggaran amaun Pemberian Khas dengan menggunakan data yang tersedia serta andaian munasabah daripada kajian yang dibuat untuk menganggarkan hasil Kerajaan Persekutuan.
“Namun, amaun hasil Kerajaan Persekutuan tersebut masih perlu dibincangkan dan dipersetujui bersama oleh kedua-dua Kerajaan,” jelas beliau.


































