Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif
KOTA KINABALU: Kajian Imam al-Ghazali mengenai akhlak dan tasawuf amat sesuai dipraktikkan oleh masyarakat Islam di Sabah, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif.
Beliau yang juga Exco Agama Sabah berkata, pendirian Kerajaan Negeri terhadap pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam konteks akhlak dan tasawuf aliran Imam al-Ghazali adalah jelas.
“Ini selaras dengan keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah Bil 2/2016 yang telah diwartakan 07 September 2017 dan merujuk kepada Rang Undang-Undang Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pindaan) 2019,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan daripada Datuk Amisah Yassin (ADUN Dilantik) yang bertanya apakah pendirian Kerajaan terhadap pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah dalam konteks akhlak dan tasawuf aliran Imam al-Ghazali.
Dr. Mohd. Arifin berkata, Imam al-Ghazali adalah seorang tokoh akademik antarabangsa yang banyak menguasai disiplin ilmu termasuklah ilmu akhlak dan tasawuf sehingga dia digelar sebagai Hujjatul Islam.
“Menurut beliau akhlak berasal daripada perkataan al-khalqu (kejadian)dan al-khuluqu (akhlak atau tingkah laku), yang dimaksudkan al-khalqu adalah bentuk zahir dan al-khuluqu adalah bentuk batin.
“Hal ini kerana kejadian manusia yang tersusun dari jasad yang dapat dilihat dengan mata kasar serta unsur ruh dan jiwa yang hanya dapat dilihat dengan mata hati,” katanya
Manakala tasawuf adalah dekat dengan kesederhanaan.
Justeru, kata beliau, hasil pengamatan pihak Kerajaan menerusi agensi agama yang berauthoriti di Negeri Sabah ini, kajian Imam al-Ghazali mengenai akhlak dan tasawuf amat sesuai dipraktikkan oleh masyarakat Islam di negeri ini.
“Rakyat Sabah sentiasa mengutamakan nilai-nilai toleransi, perpaduan dan meraikan kepelbagaian etnik, budaya, bahasa dan agama,” jelas beliau.


































