Seorang penduduk warga emas membersihkan rumahnya yang dibadai taufan Milton di Florida, AS.
TALLAHASSEE: Seorang penyelia Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (Fema) dipecat kerana mengarahkan kakitangannya supaya tidak membantu rumah mangsa taufan yang memaparkan papan tanda menyokong Presiden terpilih, Donald Trump.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Fema, Deanne Criswell menyifatkan tindakan penyelia tersebut keterlaluan dan menegaskan agensi itu berusaha keras membantu semua mangsa sebelum, semasa dan selepas bencana tanpa mengira fahaman politik.
Walaupun kenyataan Criswell di laman X tidak menyatakan bila atau di mana kejadian itu berlaku, Gabenor Florida, Ron DeSantis berkata, bahagian pengurusan kecemasan akan melancarkan siasatan terperinci berhubung isu itu.
DeSantis menggelar situasi itu sebagai diskriminasi terancang menyasarkan penyokong Trump di Florida.
Kakitangan Fema berada di Florida bagi membantu penduduk pulih daripada Taufan Milton bulan lalu dan ditugaskan meninjau kerosakan pada setiap rumah untuk menilai siapa yang layak memohon bantuan kerajaan persekutuan.
Daily Wire melaporkan, kakitangan Fema yang memeriksa rumah di Lake Placid diarahkan untuk melangkau hartanah yang mempunyai tanda halaman menyokong calon Republikan.
“Apabila kami tiba di sana, kami diberitahu untuk mendiskriminasi mangsa.
“Hampir sukar dipercayai melihat seseorang dalam kerajaan persekutuan boleh memberi arahan sedemikian dan merasa ia tidak mengapa,” kata seorang sukarelawan kepada portal berita itu.
Dalam pada itu, Criswell menegaskan akan terus melakukan segala yang termampu bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang lagi.


































