Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mengetuai cabaran negara di kedudukan ketiga senarai beregu lelaki ke Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China pada Disember ini.
PETALING JAYA: Hanya tiga baki kejohanan berbaki sebelum Jelajah Dunia Akhir dilangsungkan pada 11-15 Disember ini di Hangzhou, China dengan enam wakil Malaysia berada di dalam kelompok lapan terbaik iaitu kedudukan yang melayakkan mereka ke pertandingan penutup musim itu.
Menurut Utusan Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mengetuai cabaran negara dengan kutipan 77,400 mata yang meletakkan mereka di kedudukan ketiga dalam senarai beregu lelaki.
Turut berada dalam kedudukan lapan terbaik adalah Man Wei Choong-Tee Kai Wun yang menghuni tangga ketujuh setelah mengumpul 67,840 mata.
Bagaimanapun, kedudukan Wei Choong-Kai Wun masih belum selamat kerana beregu yang sekurang-kurangnya berada dalam kelompok 15 terbaik boleh mencabar kerana jurang kutipan mata yang tidak begitu jauh.
Contoh terbaik boleh diambil ialah menerusi cabaran yang hadir daripada beregu No. 6 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berjaya menokok 7,000 mata selepas menjuarai Korea Masters di Iksan, Korea Selatan, kelmarin.
Aaron-Wooi Yik yang pada ketika ini berada di kedudukan ke-13 dengan jumlah kutipan 56,090 mata berikutan ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) masih belum dikemas kini, bakal melonjak di dalam kelompok 10 terbaik.
Jika ditokok 7,000 mata tersebut, maka, Aaron-Wooi Yik sepatutnya mengumpul 63,090 mata dan jumlah itu meletakkan mereka berkongsi kedudukan No. 9 dengan beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani yang mengutip bilangan mata sama.
Walaupun tipis, satu lagi wakil Malaysia, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri yang kini berada di tempat ke-12 (57,900 mata) masih berpeluang melayakkan diri jika mereka menyertai tiga kejohanan berbaki dengan syarat perlu melangkah jauh sehingga ke final.
Tiga kejohanan itu adalah Jepun Masters (12-17 November), China Masters (19-24 November) dan Kejohanan Antarabangsa Syed Modi di India (26 November-1 Disember).
Untuk beregu wanita dan perseorangan lelaki pula, Pearly Tan-M. Thinaah (77,500 mata) serta Lee Zii Jia (69,900) masing-masing berada di kedudukan kelima.
Kedudukan Pearly-Thinaah hampir pasti dengan jurang mata yang agak jauh berbanding pesaing mereka, manakala, persaingan dalam sektor perseorangan lelaki agak sengit tetapi tempat Zii Jia juga bukan mudah untuk digugat pencabarnya.
Sementara itu, dalam kategori beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai (77,370 mata) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (76,280) hampir terjamin kedudukan mereka di tangga ketiga serta keempat, manakala, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (65,650) yang menghuni tempat ke-10 masih berpeluang merebut slot lapan terbaik.


































