Keadaan dua daripada tiga buah motosikal berkuasa tinggi yang terlibat dalam kemalangan di Batu 6, Jalan Kangkar Baru Paloh, Yong Peng Batu Pahat.
BATU PAHAT: Seorang penunggang motosikal kuasa tinggi maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan semasa berkonvoi dari Segamat ke Kluang, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian pada pukul 10.15 pagi di Batu 6, Jalan Kangkar Baru Paloh, Yong Peng itu melibatkan tiga motosikal kuasa tinggi dan sebuah kereta.
Kejadian berlaku semasa tiga motosikal bersama-sama beberapa buah motosikal berkuasa tinggi yang lain dalam perjalanan dari Segamat menghala ke arah Kluang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang A. Razak Jufrin, 64, berlanggar dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah pada bahagian leher dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Menurut Shahrulanuar Mushaddat, dua lagi motosikal yang berada di belakang terbabas apabila melanggar serpihan kemalangan menyebabkan penunggang dan pemboncengnya turut mengalami kecederaan.
“Pemandu kereta berkenaan pula cedera ringan pada beberapa bahagian badan dan semua mangsa terlibat dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat dan rawatan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000, jika sabit kesalahan.


































