WASHINGTON: Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membuat pelantikan pertama pentadbiran baharunya dengan menamakan ketua staf sementara tugas penting lain dijangka bakal diisi oleh kombinasi muka baharu dan nama-nama yang pernah menyandang jawatan dalam Kabinet 2016.
Menurut Utusan Malaysia, bekas Ketua Pegawai Eksekutif World Wrestling Entertainment, Linda McMahon dan Pengasas Firma Broker Cantor Fitzgerald, Howard Lutnick akan mengetuai proses peralihan kuasa.
“Ada beberapa yang akan kembali dari penggal pertama Trump dan akan ada beberapa muka baharu yang menyertai pasukan,” kata Pembantu Kanan Trump, Jason Miller kepada Fox Business.
BARISAN PENTADBIRAN UTAMA
Ketua kempen pilihan rayanya, Susie Wiles menerima pelantikan pertama Trump apabila diumumkan sebagai ketua staf seperti yang dijangkakan secara meluas.
Wiles mendapat sokongan meluas dalam pasukan Republikan dan tepukan gemuruh ketika dipanggil ke atas pentas oleh Trump semasa ucapan kemenangannya Rabu lalu.
“Wiles seorang yang tabah, pintar, inovatif, dikagumi dan dihormati secara universal,” kata Trump mengenai anak kelahiran Florida berusia 67 tahun itu.
Beliau turut menjadi wanita pertama memegang jawatan berprofil tinggi itu.
Memandangkan agenda radikal Trump untuk pengusiran beramai-ramai pendatang tanpa izin dan masalah undang-undangnya yang berterusan, individu yang dinamakan sebagai peguam negara akan menggalas tanggungjawab paling sensitif dan mencabar sepanjang pentadbirannya.
Menurut The Washington Post, Senator Republikan Mike Lee, Eric Schmitt dan bekas pengarah perisikan negara, John Ratcliffe antara yang akan dipertimbangkan untuk menyandang jawatan itu.
Anggota Republikan yang akan dilantik sebagai Setiausaha Negara dan diplomat tertinggi AS seterusnya bakal memainkan peranan penting bagi melaksanakan dasar luar ‘Amerika didahulukan’ yang menjanjikan perubahan besar dalam pakatan AS dan memaksa Ukraine berunding dengan Russia.
Bekas duta besar ke Jerman, Ric Grenell yang juga bertindak sebagai pemangku pengarah perisikan negara di bawah Trump, dilihat antara yang mungkin dipilih.
Beliau juga turut berpotensi ditempatkan dalam jawatan Penasihat Keselamatan Negara.
Senator Florida, Marco Rubio, seorang finalis untuk menjadi pasangan calon Trump juga disebut-sebut sebagai setiausaha negara.
Sementara itu, sekutu rapat AS akan mengikuti dengan teliti pencalonan untuk dua jawatan penting Setiausaha Pertahanan dan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Kash Patel, anak kepada pendatang India dan pengarang buku ‘deep state’, turut disebut-sebut sebagai calon ketua CIA yang akan datang, bersama-sama dengan Senator Texas yang ultra-konservatif, Ratcliffe.
Lapor Axios, Senator Arkansas Tom Cotton yang menyeru agar tentera digunakan menentang penunjuk perasaan Black Lives Matter pada 2020 bagaimanapun menolak sebarang pelantikan sebagai setiausaha pertahanan.
BARISAN JUTAWAN
Jutawan pengurusan dana lindung nilai, Scott Bessent dilihat sebagai calon utama untuk menjadi setiausaha perbendaharaan seterusnya yang bertanggungjawab meneruskan agenda cukai rendah, dan tarif tinggi yang mahu dilaksanakan Trump.
Seorang lagi jutawan pengurus dana lindungan nilai, John Paulson juga dilaporkan bersaing untuk portfolio ekonomi teratas, begitu juga pengerusi bersama peralihan Trump, Lutnick.
Pengasas Tesla, Elon Musk dijangka mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan baharu, yang menyasarkan pemotongan AS$2 trilion (RM8.76 trilion) daripada bajet kerajaan persekutuan sebanyak AS$7 trilion (RM30.67 trilion) walaupun tiada siapa yang menjelaskan bagaimana pemotongan drastik sedemikian akan dibuat.
Individu terkaya di dunia itu turut berjanji untuk membawa gaya pengurusan tegarnya ke Washington, sambil menjanjikan peralihan adil dan berperikemanusiaan untuk pekerja persekutuan yang dipecat.
Sementara itu, anak saudara bekas presiden John F. Kennedy dan ahli teori konspirasi, Robert Kennedy Jr. dijanjikan peranan besar oleh Trump selepas menamatkan pencalonannya sendiri untuk menyokong Republikan.
Ramai menanti sama ada Trump akan mempromosikan ahli keluarganya sebagai pembantu dan penasihat, tetapi penyokong penggal pertama Ivanka dan suaminya Jared Kushner sudah berundur daripada politik atas sebab keluarga dan perniagaan.
Bekas anggota kongres, Tulsi Gabbard yang meninggalkan Demokrat untuk menyertai parti Republikan pasti mengharapkan ganjaran selepas berbaris di belakang Trump.
Bekas hos Fox News dan orang kepercayaan Trump, Tucker Carlson mungkin juga mengintai tempat dalam barisan pentadbirannya.


































