SYDNEY: Seorang lelaki warganegara Malaysia ditahan Polis Persekutuan Australia (AFP) kerana disyaki terlibat dalam komplot pemerdagangan transnasional untuk menyeludup 100 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine ke negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, AFP menahan lelaki berusia 45 tahun itu selepas pegawai Pasukan Sempadan Australia (ABF) menemukan dadah terlarang itu dalam kargo udara yang tiba dari Malaysia pada 16 Oktober 2024.
Pegawai ABF yang membuat pemeriksaan menemukan bongkah-bongkah dadah seberat kira-kira 100kg, kesemuanya disembunyikan di dalam komputer.
AFP dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman webnya berkata, pasukan ABF mengeluarkan semua dadah tersebut sebelum kiriman kargo berkenaan dilepas untuk penghantaran.
“Kiriman dihantar ke unit simpanan di Kingsgrove di selatan Sydney pada 30 Oktober lalu sebelum kiriman diambil oleh suspek.
“Lelaki itu ditahan pihak AFP atas kesalahan cuba memiliki dadah kawalan sempadan dalam kuantiti komersial membabitkan 100 kg methamphetamine yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 307.5 Kanun Jenayah 1995 (Komanwel).
“Suspek dihadapkan ke Mahkamah Tempatan Pusat Downing pada 31 Oktober lalu dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara seumur hidup,” jelasnya.
Pemangku Superintendan AFP, Stuart Millen berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan ABF dan rakan kongsi lain untuk memerangi perdagangan dadah terlarang selepas sindiket dikesan cuba menggunakan pelbagai kaedah yang kreatif bagi mengelak dikesan.
Katanya, kuantiti dadah yang dirampas itu boleh dijual dalam satu juta urusan jual beli secara haram di jalanan.


































