Francis Chong
PENAMPANG: Tamu Donggongon akan dipindahkan sementara ke kawasan lapang antara kedai di Pekan Donggongon, di sini, mulai 13 November.
Presiden Majlis Perbandaran Penampang (MPP), Francis Chong berkata, langkah ini perlu bagi memudahkan kerja-kerja naik taraf Tamu Donggongon yang sedia ada, bertujuan menyediakan persekitaran ruang niaga yang kondusif, menarik dan selamat kepada peniaga dan orang awam.
“Projek peningkatan ini akan menyediakan ruang yang lebih selesa dan teratur untuk kedua-dua peniaga dan pelanggan, memastikan pengalaman bertamu di Donggongon yang unik.
“MPP memahami bahawa perpindahan sementara ini mungkin menyebabkan sedikit kesulitan. Walau bagaimanapun, MPP adalah komited untuk meminimumkan sebarang gangguan dan memastikan peralihan ini berjalan dengan lancar. Kami menghargai kerjasama dan pemahaman semua peniaga dan orang awam sepanjang tempoh ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk butiran lanjut atau pertanyaan, sila hubungi MPP.


































