WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mempertingkatkan keselamatan pada hari pengundian Pemilihan Presiden 2024 bagi menghadapi kemungkinan kekacauan awam, penipuan dan ancaman keganasan terhadap petugas pilihan raya.
Menurut Utusan Malaysia, beberapa langkah keselamatan diambil termasuk butang panik untuk pekerja pengundian, menempatkan pasukan senjata khas (SWAT) di atas bumbung dan mengerahkan ratusan anggota Pengawal Kebangsaan.
Negeri Oregon, Washington dan Nevada mengaktifkan Pengawal Kebangsaan, sementara Pentagon memaklumkan sekurang-kurangnya 17 negeri menempatkan 600 anggota dalam keadaan bersiap sedia jika diperlukan.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menubuhkan pusat kawalan pilihan raya kebangsaan di Washington untuk memantau ancaman selama 24 jam setiap hari dan sepanjang minggu serta meningkatkan keselamatan di hampir 100,000 pusat pengundian seluruh AS.
Persidangan Kebangsaan Dewan Undangan Negeri berkata, 19 negeri menggubal undang-undang peningkatan keselamatan pilihan raya sejak 2020.
Susulan persaingan sengit antara calon Demokrat, Kamala Harris dan pencabarnya, Donald Trump, pihak berkuasa juga memberi jaminan kepada rakyat AS mengenai keselamatan undi mereka.
Pada masa sama, keselamatan fizikal bagi operasi pilihan raya di seluruh negara turut diperketatkan.
Pembekal teknologi keselamatan, Runbeck Election Services, mengesahkan sudah memesan sekitar 1,000 butang panik untuk kemudahan pengundian dan petugas.
Alat kecil itu, dipakai sebagai rantai leher atau disimpan dalam poket, disambungkan dengan telefon bimbit pengguna dan menghubungkan pihak berkuasa atau polis jika berlaku kecemasan.
Pihak berkuasa juga turut memantau ancaman siber dan penggodaman, terutama dari luar negara yang boleh mengganggu proses pilihan raya.


































