Scott O’Donell (kiri) bersama Juan Torres semasa kempen Piala Asia B-23 di Doha, Qatar sebelum ini. – Ihsan FAM
PETALING JAYA: Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya susulan kegagalan skuad bawah 16 tahun (B-16) dan bawah 19 tahun (B-19) negara pada kempen Kelayakan Piala Asia tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, dua-dua skuad remaja negara itu gagal dalam misi masing-masing yang menyaksikan skuad B-16 menamatkan kempen kelayakan di Laos di tangga kedua dengan satu mata sementara skuad B-19 berada di tangga keempat pada aksi di Tajikistan.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, O’Donell sudah menjalankan tugasnya dengan baik dan FAM akan mencari langkah terbaik untuk persiapan bagi kempen kelayakan yang seterusnya.
“Kita tidak boleh menyalahkan Pengarah Teknikal kerana beliau sudah menjalankan tugasnya untuk memberikan input kepada barisan kejurulatihan skuad B-16 dan B-19.
“Malah, beliau hadir pada Kelayakan Piala Asia itu untuk mendapatkan keputusan yang terbaik buat kedua-dua pasukan remaja kebangsaan.
“Jadi beliau akan memberi pandangannya dalam laporan ‘post-mortem’ pada Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Teknikal yang saya pengerusikan nanti.
“Saya berharap kita akan dapat membuat tindakan susulan seterusnya dan merancang lebih awal bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B-17 2026 yang mana akan bermula tahun depan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, FAM bersetuju dengan cadangan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk merujuk kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi melakukan kajian prestasi terhadap Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
“Hasil daripada kajian dan dapatan yang dilakukan pihak AFC, selepas itu barulah kita akan melihat tentang pendekatan dan kesesuaian NFDP dan AMD sama ada perlu distruktur semula atau mengambil apa-apa tindakan yang bersesuaian.
“Jadi pihak FAM dan KBS menunggu hasil daripada kajian terbabit,” katanya.
































