Bahlil Lahadalia
JAKARTA: Kontroversi melanda negara selepas seorang menteri kanan dalam Kabinet Presiden Prabowo Subianto, didakwa menerima ijazah kedoktoran (PhD) daripada sebuah universiti terkemuka Indonesia dalam tempoh pengajian yang singkat.
Menurut Utusan Malaysia, dakwaan terhadap Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Bahlil Lahadalia sekali gus menimbulkan dakwaan beliau menggunakan khidmat penulis upahan atau ‘joki’ untuk kajian akademiknya.
Bagaimanapun, Bahlil yang baru dilantik kira-kira dua minggu lalu, menafikan dakwaan tersebut dan mempertahankan penulisan akademiknya mengenai industri nikel domestik.
Beliau didakwa menerima PhD dalam tempoh setahun lapan bulan, berbanding tiga hingga empat tahun yang biasanya diambil, di Universiti Indonesia (UI).
Beliau dianugerahkan ijazah kedoktoran dengan kepujian (cum laude) daripada Pusat Pengajian Strategik dan Global.
Bahlil dianugerahkan PhD hanya lima hari sebelum beliau dilantik sebagai anggota Kabinet Prabowo pada 21 Oktober lalu.
Isu mengaitkan menteri itu menarik perhatian nasional selepas sekumpulan alumni UI memulakan petisyen di change.org untuk menggesa siasatan mengenainya.
Petisyen tersebut memperoleh lebih 14,000 tandatangan setakat ini.
Pasukan profesor dan senat akademik UI membuat penyiasatan terhadap perkara itu pada 30 Oktober lalu, tetapi hasilnya belum didedahkan kepada umum.
Keputusan itu dijangka diserahkan kepada rektor universiti.
Undang-undang Indonesia menyatakan amalan plagiat akan menyebabkan gelaran yang diperoleh ditarik balik dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga 200 juta rupiah (RM55,480).































