Elon Musk
HARRISBURG: Jutawan, Elon Musk berjanji untuk memberikan AS$1 juta (RM4.3 juta) setiap hari kepada individu yang menandatangani petisyen dalam talian menyokong Perlembagaan Amerika Syarikat (AS) menjelang pilihan raya Presiden November ini.
Menurut Utusan Malaysia, dalam satu acaranya di Pennsylvania yang bertujuan untuk mengumpul penyokong calon Presiden daripada Republikan, Donald Trump, Musk dilaporkan memberikan cek kepada seorang lelaki dikenali John Dreher.
“Dia tidak tahu mengenai wang ini. Bagaimanapun, anda dialu-alukan,” kata pengasas Tesla itu sambil menyerahkan cek berkenaan kepada Dreher.
Pemberian wang itu adalah langkah terbaharu Musk menggunakan kekayaannya untuk mempengaruhi pemilihan antara Trump dan saingannya daripada Demokrat, Kamala Harris.
Musk memulakan America PAC, sebuah organisasi tindakan politik yang diasaskannya untuk menyokong kempen Trump sebelum ini.
Penyokong yang menghadiri acara semalam diminta menandatangani petisyen, yang membolehkan America PAC mendapatkan butiran lebih ramai pengundi berpotensi untuk memilih Trump
Kumpulan itu membantu menggerak dan mendaftarkan pengundi di beberapa negeri, tetapi terdapat tanda-tanda ia menghadapi masalah untuk mencapai matlamatnya.
Acara Harrisburg adalah yang ketiga dalam tempoh beberapa hari di Pennsylvania, di mana Musk menggalakkan penyokong mengundi lebih awal.
Katanya, jika Harris menang, ia akan menjadi pilihan raya terakhir, menunjukkan AS tidak akan wujud lagi.
Tambah beliau, dua percubaan pembunuhan terhadap Trump adalah perkara yang ‘membingungkan’ dan menaikkan status quo dengan cara yang tidak dilakukan Harris.
“Itulah sebabnya tiada siapa yang cuba membunuh Harris. Membunuh boneka tidak akan bernilai,” kata Musk mengulangi hujah yang dibuatnya dalam catatan media sosial.


































