Mengimbas kembali zaman kanak-kanak di era 80-an, pasti ramai di antara kita masih ingat kali pertama memegang konsol Sistem Hiburan Nintendo, menelusuri dunia berwarna-warni Super Mario, Zelda dan Donkey Kong.
Memetik Utusan Malaysia, jka permainan video ini dapat mengimbau nostalgia dan memori indah sewaktu kecil dahulu, Muzium Nintendo yang baharu dilancarkan di Jepun wajar dimasukkan ke dalam senarai lokasi wajib dikunjungi.
Dibuka kepada orang ramai Rabu lalu, ruang interaktif itu terletak di bekas tapak kompleks kilang syarikat permainan video berkenaan di Uji, kira-kira sejam di selatan bandar Kyoto.
Memenuhi ruangan di tiga bangunan utama, Muzium Nintendo akan membawa pelawat melalui sejarah 135 tahun penubuhan syarikat.
Tarikan utama muzium adalah kawasan ‘Discover’, sebuah dewan besar memaparkan hampir setiap produk yang pernah dikeluarkan, termasuk peranti edisi terhad dan jarang ditemui serta prototaip yang tidak menjadi.
Di tingkat atas, banyak dipamerkan konsol permainan video Nintendo, dari Famicom 1983, Nintendo 64 1996 hingga Switch 2017 bersama permainan mereka yang paling terkenal.
Di dinding belakang, pengunjung juga boleh meninjau mainan, bermain kad dan artifak lain dari sejarah pra-permainan video syarikat Jepun itu, bermula sejak penubuhannya sebagai pengeluar kad permainan hanafuda pada tahun 1889.
Di tingkat bawah, terdapat pameran interaktif dengan konsol gergasi dan kad permainan unjuran lantai.

Syarikat permainan video raksasa itu pertama kali diasaskan pada tahun 1889 sebagai pengeluar kad permainan yang menghasilkan hanafuda atau ‘kad bunga’ dalam bahasa Inggeris.
Bahagian muzium dipanggil ‘Craft and Play’ didedikasikan untuk permulaan itu yang menampilkan bilik hanafuda di mana pelawat belajar bermain permainan kad tradisional tersebut dengan bantuan teknologi dan boleh menyertai bengkel mencipta kad bunga mereka sendiri.
Antara permainan mini yang ditawarkan ialah penembak laser dipanggil Zapper & Scope, mengingatkan kepada sistem pistol ringan pada tahun 1973, dan Love Tester, yang pertama kali dilancarkan pada tahun 1969.
Jika sudah bersedia untuk melawat, ada cabaran yang perlu ditempuh kerana pengunjung tidak boleh hanya muncul di pintu dan membeli tiket.
Pelawat perlu pergi ke laman web muzium dan mendaftar untuk cabutan bertuah sekurang-kurangnya tiga bulan lebih awal.
Ini bermakna pelawat kini boleh membuat cabutan untuk mendapatkan tiket sekitar Januari dan boleh memilih sehingga tiga tarikh dan masa yang diinginkan.
Pemenang cabutan akan diumumkan dua bulan lebih awal daripada tarikh lawatan yang dijadualkan dan tiket mesti dibeli dengan segera.
Mereka yang tidak dapat mendaftar lebih awal juga boleh mencuba nasib di kalendar laman web muzium dan mencari tiket yang tidak dituntut atau ditambah kemudian.
Tiket ialah 3,300 yen (RM94.80) untuk dewasa dan 2,200 yen (RM63.20) bagi kanak-kanak, sementara beberapa bahagian pameran mengenakan bayaran masuk tambahan.


































