Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Cukai rokok dan minuman keras mungkin dinaikkan dalam Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan bulan depan, kata RHB Investment Bank Bhd.
Menurut Utusan Malaysia, bank pelaburan berkata, ini memandangkan kali terakhir kenaikan duti eksais dilaksanakan adalah pada tahun 2014 dan 2016.
“Kami tidak menolak kemungkinan duti eksais berpeluang tinggi ditingkatkan bagi produk rokok dan minuman keras,” katanya dalam nota penyelidikan semalam.
Menurut laman web Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), duti eksais merupakan duti yang ditetapkan oleh menteri di bawah Seksyen 6, Akta Eksais 1976 yang dikenakan ke atas barangan berduti yang dikilang oleh syarikat yang dilesenkan di bawah Seksyen 20, Akta Eksais 1976.
Duti ini juga dikenakan ke atas barangan yang sama sewaktu diimport. Barangan tertakluk kepada duti eksais diwartakan dalam Perintah Duti Eksais 2022 antaranya minuman bergula, kenderaan bermotor, minuman keras dan rokok termasuk tembakau dan cerut.
Menurut RHB Investment Bank, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad baru-baru ini mendedahkan banyak perancangan diusahakan demi mengatasi masalah pengambilan gula.
“Dengan ini, cukai gula mungkin akan dinaikkan untuk barangan sedia ada dan skop penguatkuasaannya juga akan diperluaskan kepada lebih banyak produk lain.
“Mempertimbangkan perluasan skop cukai ini, perkara ini seharusya akan menjejaskan Power Root, manakala Farm Fresh Berhad (FFB) dan Nestle mungkin terkesan sekiranya skop ini dikembangkan kepada minuman berasaskan susu atau ais krim,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, Belanjawan 2025 sepatutnya lebih mesra pengguna dengan mengetengahkan langkah-langkah baik seperti bantuan kewangan tunai, ganjaran bonus kepada penjawat awam dan bantuan cukai pendapatan bagi menggalakkan penggunaan.
“Sementara itu, kami menanti-nantikan butiran lanjut mengenai pelaksanaan program subsidi bersasar petrol dan memerhati sama ada pihak kerajaan merancang untuk memperkenalkan cukai jualan dan barangan (GST) semula,” katanya.
Dalam pada itu, bank pelaburan berkata, sentimen sektor pengguna seharusya terus berada dalam keadaan suram sehingga impak daripada pelaksanaan pewajaran subsidi dapat dikenal pasti dengan lebih jelas.
“Terdapat juga ura-ura yang menyatakan GST mungkin diperkenalkan semula yang akan mendatangkan kesan ketara terhadap sentimen dalam kalangan pengguna dan seterusnya menyebabkan keadaan menjadi lebih tidak menentu.
“Sungguhpun begitu, kami yakin walaupun perbelanjaan pengguna tidak begitu menggalakkan, ia akan mendapat dorongan daripada pasaran pekerjaan yang stabil dan program bantuan kerajaan yang terus dilaksanakan seperti bantuan kewangan tunai dan subsidi,” katanya.


































