BIRMINGHAM, Alabama: Sekurang-kurangnya empat terbunuh manakala 17 lagi cedera selepas beberapa penyerang melepaskan tembakan rambang di Birmingham, di sini kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Datuk Bandar Birmingham, Randall Woodfin pada satu sidang media semalam berkata, penyerang masih belum dapat dicekup dan pihak berkuasa sedang melakukan pemburuan besar-besaran.
“Kejadian ini menggemparkan penduduk sekitar. Orang ramai diminta tampil membantu jika mempunyai maklumat tentang insiden ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Birmingham, Scott Thurmond berkata, kejadian berlaku di luar sebuah kelab malam apabila sebuah kenderaan dinaiki beberapa suspek melepaskan tembakan ke arah sekumpulan individu yang sedang menanti giliran masuk ke kelab terbabit.
Jelas Thurmond, pihaknya percaya serangan disasarkan terhadap seorang individu di dalam kumpulan berkenaan.
Tambah beliau, sebanyak 100 kelongsong peluru ditemukan di tempat kejadian.
“Kami masih menyiasat jenis senjata yang digunakan, namun siasatan awal mendapati penyerang mungkin menggunakan mesingan yang diubah suai,” ujarnya.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Anitra Holloman, 21, dari Bessemer; Tahj Booker, 27, dari Birmingham; dan Carlos McCain, 27, juga dari Birmingham.
Identiti mangsa keempat yang meninggal dunia di hospital tidak didedahkan.


































