TOKYO: Kira-kira 46,000 penduduk di empat bandar di tengah Jepun diarah berpindah berikutan amaran banjir besar akibat hujan lebat di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memaklumkan, sebanyak 18,000 penduduk di bandar Wajima dan 12,000 di Suzu diminta mencari perlindungan di wilayah Ishikawa, pulau Honshu.
Menurut agensi berita AFP, selain itu, sebanyak 16,000 penduduk di wilayah Niigata dan Yamagata, utara Ishikawa juga diperintahkan berpindah.
JMA mengeluarkan amaran hujan lebat iaitu amaran tahap tertinggi untuk sebahagian kawasan terlibat.
Rangkaian penyiar NHK juga menyiarkan rakaman yang menunjukkan keseluruhan jalan di Wajima tenggelam.
Menurut seorang pegawai tempatan, tiga sungai di Ishikawa turut melimpah ke kawasan komuniti berdekatan.
Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana melaporkan, sekurang-kurangnya sebuah rumah terjejas akibat tanah runtuh, namun lokasinya tidak dinyatakan.
Wajima dan Suzu yang terletak di semenanjung Noto di tengah Jepun, adalah antara kawasan yang paling teruk terjejas oleh gempa bumi besar yang meragut sekurang-kurangnya 236 nyawa pada awal Januari lalu.
Gempa sekuat 7.5 skala Richter itu turut meruntuhkan bangunan, merosakkan jalan raya dan mencetuskan kebakaran besar.
Hujan di beberapa bahagian dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mengakibatkan banjir dan tanah runtuh, kejadian yang jarang berlaku sebelum ini.


































