Brenndon Keith Soh
KOTA KINABALU: Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh berkata, Akta Laut Wilayah 2012 (TSA 2012) dan Pelantar Benua kekal sebagai perkara yang “tidak boleh dirunding” di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, TSA 2012 adalah tidak terpakai ke atas Sabah dan pelantar benua turut kekal berada di dalam wilayah Negeri seperti yang telah dii dalam North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954.
Katanya, tuntutan ini telah direkodkan secara rasmi sebagai perkara yang “tidak boleh dirunding” di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (Majlis MA63) yang telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada Sept 12, 2024.
“Walau terdapat perkembangan yang signifikan dalam Majlis MA63 berkenaan dengan tuntutan dan hak-hak Negeri yang lain, tuntutan berkenaan TSA 2012 dan pelantar benua masih kekal dalam senarai “setuju untuk tidak bersetuju”.
“Timbalan Perdana Menteri turut menyatakan bahawa perkara-perkara ini akan terus dibincangkan di peringkat tertinggi di antara Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.
“Sehubungan dengan itu, Jabatan Peguam Besar Negeri akan kekal komited dalam mempertahankan pendirian Kerajaan Negeri dalam perkara ini secara berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berkenaan dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah menolak permohonan
Jabatan untuk bertindak sebagai amicus curiae dalam kes mengenai tuntutan laut
wilayah baru-baru ini, Brenndon berkata, Jabatan menghormati sepenuhnya keputusan Hakim Mahkamah Tinggi tersebut.
“Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) juga telah memberi sokongan kepada Jabatan untuk memberikan bantuan dalam kes, namun Peguam Negara Persekutuan telah membantah perkara tersebut.
“Walau bagaimanapun, adalah budi bicara mahkamah untuk menentukan sama ada bantuan kami diperlukan atau tidak dalam menyelesaikan pertikaian undang-undang di antara kedua-dua pihak ini. Dalam kes ini, mahkamah telah membuat keputusan yang sebaliknya.
“Walaupun dengan keputusan ini, Jabatan akan terus ikhlas menawarkan sokongan
untuk memberikan pandangan perundangan rasmi Negeri berkenaan dengan perkara ini yang melibatkan kepentingan awam.
“Jabatan juga ingin memberi jaminan
bahawa Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan kes ini dengan teliti,” katanya.
Beliau berkata seperti yang dinyatakan juga dalam keputusan mahkamah, masih lagi terbuka bagi Kerajaan Negeri untuk melibatkan diri sebagai pihak dalam prosiding undang-undang tersebut, dan pilihan ini akan dipertimbangkan dengan teliti bersama semua pilihan yang lain bergantung kepada keputusan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 mengenai perkara ini.


































