Xi Jinping
BEIJING: Presiden China, Xi Jinping menjanjikan pembiayaan baharu sejumlah 360 bilion yuan (RM220 bilion) kepada Afrika dalam usaha menyokong 30 projek infrastruktur di seluruh benua tersebut yang akan mewujudkan sekurang-kurangnya sejuta pekerjaan.
Menurut Utusan Malaysia, dalam ucapannya pada Forum Sidang Kemuncak Kerjasama China-Afrika di sini hari ini, Jinping berjanji kepada delegasi dari lebih 50 negara Afrika bahawa ekonomi China yang bernilai 135 trilion yuan (RM82.4 trilion) akan memperbaiki akses pasaran kepada perdagangan rantau berkenaan.
“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, kerajaan China akan menyalurkan bantuan kewangan tersebut kepada negara-negara Afrika.
“Jumlah itu termasuk 210 bilion yuan (RM128 bilion) dalam bentuk fasiliti pinjaman dan 80 bilion yuan (RM49 bilion) dalam bentuk pelbagai bantuan,” katanya seperti laporan AFP.
Tambah beliau, sejumlah 70 bilion yuan (RM43 bilion) lagi akan diperoleh dalam bentuk pelaburan oleh syarikat-syarikat China.
Selain itu, Jinping berkata, China juga akan memberikan bantuan makanan bernilai 1 bilion yuan (RM610 juta) serta melaksanakan 500 projek kebajikan awam untuk penduduk Afrika.
Forum Sidang Kemuncak Kerjasama China-Afrika yang diadakan di Beijing tahun ini, menetapkan agenda tiga tahun dalam hubungan antara ekonomi kedua terbesar di dunia ini dan benua Afrika yang paling cepat berkembang di dunia.
Pada sidang kemuncak itu, China juga dilapor bersedia melancarkan 30 projek tenaga bersih di Afrika dan menyokong matlamat tenaga nuklear benua tersebut bagi membantu mengatasi masalah kekurangan tenaga yang telah lama menghalang perkembangan perindustrian di Afrika.


































