Rebecca Cheptegei
NAIROBI: Atlet maraton Olimpik Uganda, Rebecca Cheptegei meninggal dunia kelmarin, selepas disiram petrol dan dibakar oleh teman lelakinya dalam satu kejadian di Kenya, pada 1 September lalu, menurut Utusan Malaysia.
Cheptegei, 33, yang bertanding di Olimpik Paris, mengalami kecederaan parah kerana melecur lebih 75 peratus pada tubuh akibat serangan itu, lapor Reuters.
Kematian Cheptegei dimaklumkan Presiden Jawatankuasa Olimpik Uganda, Donald Rukare dalam hantaran di X.
“Kami menerima berita sedih mengenai pemergian atlet Olimpik, Rebecca Cheptegei selepas serangan kejam oleh teman lelakinya.
“Semoga rohnya bersemadi dengan aman dan kami dengan tegas mengecam keganasan terhadap wanita,” katanya.
Beliau adalah atlet wanita ketiga yang terkenal dibunuh di Kenya sejak Oktober 2021.
Cheptegei, yang menduduki tempat ke-44 dalam Sukan Olimpik Paris, dimasukkan ke hospital di bandar Eldoret, Lembah Rift Kenya, selepas serangan itu.
Pengarah kanan hospital, Owen Menach berkata, Cheptegei meninggal dunia pada pukul 5.30 pagi (waktu tempatan) selepas organnya gagal berfungsi.
Akhbar Kenya, The Standard melaporkan, penyerangnya turut mengalami kecederaan dalam kejadian itu dan dimasukkan ke unit rawatan rapi akibat melecur 30 peratus pada badan.
Menteri Sukan Kenya, Kipchumba Murkomen menyifatkan kematian atlet itu sebagai kehilangan besar kepada seluruh wilayah.
Persekutuan Olahraga Uganda turut menuntut keadilan atas kematian Cheptegei.


































