Anwar Ibrahim menyampaikan amanat kepada warga penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tidak menyekat mana-mana organisasi media dalam membuat liputan program agensi keselamatan itu, lapor Utusan Malaysia.
Untuk itu, Perdana Menteri memberi jaminan akan menghubungi segera pihak PDRM berhubung perkara itu sebagaimana yang berlaku kepada portal berita Malaysiakini, semalam.
“Soal media saya akan hubungi PDRM segera supaya jangan ada mana-mana sekatan kepada media sebagaimana berlaku pada Malaysiakini,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan amanat kepada warga penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Nengeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini hari ini.
Semalam, Malaysiakini dilarang membuat liputan di sebuah acara polis di Kuala Lumpur yang sepatutnya turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Acara “PDRM Special Dialogue II” bermula dengan perbincangan tertutup antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan pemegang taruh, antaranya agensi penguatkuasaan undang-undang lain bawah Kementerian Dalam Negeri dan juga Kementerian Kewangan.
Larangan itu walaupun setelah Malaysiakini menerima undangan menerusi e-mel daripada Bukit Aman, dengan portal ini membalas undangan pada hari sama serta menyertakan maklumat dua wartawan yang ditugaskan untuk ke acara itu.
Menurut pegawai itu, proses saringan dibuat dan mereka yang menerima e-mel undangan kedua pada 21 Ogos sahaja dibenarkan membuat liputan.
































