Jutawan terkenal AS, Elon Musk (kiri) dan calon Presiden Republikan 2024, Donald Trump.
NEW YORK: Calon Presiden Republikan, Donald Trump mendedahkan berkemungkinan maut jika tidak sempat mengelak ketika serangan tembakan ketika kempen pilihan raya di Pennsylvania, Julai lalu.
Menurut Utusan Malaysia, ketika wawancara bersama jutawan terkenal, Elon Musk melalui aplikasi X, Trump berkata, serangan itu boleh menyebabkan beliau maut jika peluru terkena ke atas kepalanya.
“Jika saya tidak menoleh, saya tidak akan bercakap dengan anda sekarang,” kata Trump kepada pemilik X itu.
Dalam kejadian itu, suspek penembak melepaskan beberapa das tembakan ke arah pentas hingga mencederakan bekas Presiden itu semasa perhimpunan di Pennsylvania.
Selain percubaan pembunuhan itu, Trump juga memperincikan rancangan pengusiran terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) jika sekali lagi dipilih menjadi Presiden AS.
Namun wawancara santai yang berlangsung selama lebih dua jam itu tidak mendedahkan banyak perkara baharu mengenai rancangan Trump untuk penggal kedua.
Sebaliknya, bekas Presiden itu menghabiskan banyak perbincangan yang tertumpu kepada cubaan pembunuhan baru-baru ini, pendatang haram dan rancangan untuk mengurangkan peraturan kerajaan.
Namun, temu bual Trump dalam talian itu menekankan betapa penting landskap politik AS berubah kurang dari empat tahun selepas diharamkan secara kekal oleh bekas kepemimpinan platform media sosial itu kerana menyebarkan maklumat salah yang mencetuskan serangan 6 Januari 2021 terhadap Kongres serta menjejaskan asas demokrasi negara.
Menurut Associated Press, sesi itu bertujuan untuk membolehkan Trump meraih sokongan pengundi secara langsung bagi pemilihan Presiden yang dijangka Noivember ini.
Ia juga merupakan peluang bagi X, platform yang bergantung pada politik, untuk menebus kesilapannya selepas beberapa masalah.
Pada 2022, Musk, yang menggambarkan dirinya sebagai ‘Demokrat sederhana’, pernah menganggap Trump terlalu tua untuk sekali lagi menjadi Presiden.
Bagaimanapun, pemilik platform X dan Tesla itu kemudian membuat ‘pusingan-U’ apabila secara rasmi menyokong Trump, dua hari selepas percubaan pembunuhan terhadapnya bulan lalu.
Sebelum beliau menyokong Trump, Musk semakin cenderung ke haluan kanan dalam hantaran dan tindakan di platform tersebut, juga menggunakan X untuk cuba mempengaruhi wacana politik di seluruh dunia.


































