KUALA LUMPUR: Polis mengesan taktik sindiket ‘job scam’ yang menyebar mesej tawaran pekerjaan secara sambilan dengan memberi ulasan kepada laman sesawang, produk dan sebagainya.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya mengesan satu sebaran mesej tawaran pekerjaan secara sambilan yang dipercayai didalangi oleh sindiket Job Scam.
Menurutnya, ulasan tersebut akan meningkatkan trafik di laman sesawang tersebut sekaligus memberi keuntungan kepada peniaga yang memaparkan barangan atau perkhidmatan mereka di platform berkenaan.
“Sebagai balasan, individu yang memberi ulasan akan memperoleh bayaran serendah RM1,590 sehari sehingga RM6,188 sebulan bergantung kepada tugasan yang disiapkan.
“Berpandukan bentuk pekerjaan serta komisen yang ditawarkan, pihak JSJK percaya ia adalah satu cubaan penipuan,” katanya pada sidang akhbar Jabatan Siasatan Jenayah (JSK) di Menara KPJ, kelmarin.
Jelas Ramli, semakan sedang dilakukan bagi menentukan sama ada terdapat individu yang telah menjadi mangsa kepada sindiket penipuan ini.
“Mana-mana individu yang mungkin telah ditipu oleh sindiket tersebut segera tampil membuata laporan polis di mana-mana balai berhampiran.
“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa berwaspada dengan tawaran pekerjaan sambilan yang kelihatan ‘too good to be true’ . Mustahil terdapat pekerjaan yang menawarkan pulangan lumayan hanya dengan melakukan kerja-kerja mudah pada era ketidakstabilan ini,” katanya.


































