PETALING JAYA : Seorang pegawai penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM12,000 sebagai balasan untuk menutup satu kes rogol.
Menurut Utusan Malaysia, suspek lelaki yang berusia lingkungan 40-an telah ditahan kira-kira pukul 10 pagi Selasa ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang.
Menurut sumber, suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut sekitar tahun 2019 dan menerima rasuah kira-kira RM12,000 daripada seorang individu sebagai balasan untuk menutup satu kes rogol.
“Suspek dibawa ke Mahkamah Negeri Perlis pagi tadi (kelmarin) untuk didakwa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Haji Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan,” jelasnya.


































