PETALING JAYA: Malaysia Airlines Berhad (MAB) mengesahkan kelewatan penerbangan pesawat MH165 dari Doha ke Kuala Lumpur pada Isnin lalu yang berpunca daripada masalah enjin pesawat.
Masalah itu turut menjejaskan penerbangan yang dijadualkan di antara dua destinasi itu pada Selasa dan kelmarin.
Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan dikeluarkan memohon maaf kepada penumpang akibat kelewatan dihadapi terhadap rancangan perjalanan mereka.
“Malaysia Airlines memohon maaf kepada penumpang atas gangguan terhadap rancangan perjalanan mereka dan menghargai kesabaran serta pemahaman mereka.
“Malaysia Airlines sedang berusaha keras untuk menyelesaikan isu berkaitan dengan enjin pesawat dan komited untuk meminimumkan gangguan lanjut terhadap operasinya,” katanya.
Menurut Malaysia Airlines, keselamatan penumpang kekal sebagai keutamaan tertinggi pihaknya.
Syarikat penerbangan itu turut memaklumkan semua penumpang dipindahkan ke penerbangan yang disediakan oleh Qatar Airways.
“Pada masa sama, beberapa penumpang telah ditempatkan di hotel berhampiran lapangan terbang di Doha dengan kemudahan penginapan dan makanan lengkap,” katanya.


































