LAHAD DATU: Seorang pesakit psikiatri yang mengandung 33 minggu disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Lahad Datu, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, manga dipercayai terjun dari tingkat tiga bangunan hospital tersebut pada Rabu kira-kira pukul 7.20 malam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dihantar oleh ahli keluarganya untuk mendapatkan rawatan kecemasan pada Selasa selepas mendapati mangsa bertindak agresif.
Kemudiannya mangsa ditempatkan di sebuah wad untuk menjalani rawatan dan pemantauan lanjut.
“Semasa berada di wad, pada 31 Julai, mangsa dikatakan cuba terjun dari tingkap namun, berjaya dihalang oleh jururawat bertugas. Seterusnya mangsa telah diberi rawatan dan tangannya diikat disebabkan mangsa bertindak agresif.
“Kira-kira pukul 6.30 petang, ikatan tangan mangsa dibuka setelah mangsa diberi ubat penenang dan tidak menunjukkan tanda-tanda agresif. Namun, pada pukul 7.20 malam, mangsa tidak berada dikatil semasa jururawat datang ke wad mangsa.
“Setelah pemeriksaan dibuat, mangsa ditemukan terbaring di atas rumput tingkat bawah dan mangsa telah dikejarkan ke Unit Kecemasan dan Trauma untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dzulbaharin berkata, mangsa seterusnya menjalani pembedahan untuk menyelamatkan kandungannya, namun bayi berusia 33 minggu telah disahkan meninggal dunia dalam kandungan.
Selepas itu mangsa dimasukkan ke wad ICU sebelum disahkan meninggal dunia semalam. Susulan daripada siasatan awal mendapati, tiada unsur-unsur jenayah ditemui atas kematian mangsa. Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik untuk bedah siasat dan siasatan diteruskan sebagai laporan mati mengejut.
Susulan insiden itu, beliau menasihatkan penduduk di daerah itu tidak membuat sebarang spekulasi serta tanggapan yang negatif ke atas kejadian yang menimpa mangsa.