Ahmad Sah (tujuh dari kiri) menyerahkan replica cek kepada Robert (tujuh dari kanan).
PENAMPANG: Pengerusi Qhazanah Technology Sdn. Bhd. (QTSB), Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari menyarankan agar syarikat pemilik infrastruktur telekomunikasi memberi kerjasama dengan mengemukakan setiap permohonan kelulusan permit pembinaan infrastruktur komunikasi baharu.
Ini selain mengemukakan permohonan pembaharuan permit tahunan melalui One Stop Agency (OSA) untuk tindakan selanjutnya bagi mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Selain itu, syarikat pemilik infrastruktur telekomunikasi juga digalakkan untuk menyertai program pemutihan bagi infrastruktur sedia ada yang masih belum berdaftar bagi mengelakkan infrastruktur telekomunikasi mereka dianggap struktur haram,” katanya pada Majlis Penyerahan Bayaran Yuran Permit Tahunan Struktur Telekomunikasi bagi tempoh 2019 hingga 2022 berjumlah RM660,500 daripada Qhazanah Technology kepada Majlis Perbandaran Penampang (MPP) di sini Selasa lalu.
Ahmad Sah menyerahkan replica cek bayaran tersebut kepada Robert Malangking, mewakili Presiden MPP, Francis Chong.
QTSB merupakan syarikat yang dilantik sebagai OSA oleh Kerajaan Negeri untuk menyelaras permohonan berkaitan infrastruktur telekomunikasi di Sabah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif QTSB, Mikail S. Abdullah meminta kerjasama semua pihak terutama pemilik Infrastruktur komunikasi menggunakan platform online yang telah dikuatkuasakan pada 15 Julai lalu untuk memudahkan dan memastikan pengurusan dalam bentuk digital ke atas infrastruktur komunikasi di Sabah dapat di urus tadbir dengan lebih baik dan teratur.
MPP berterima kasih kepada QTSB atas usaha mereka dan berharap kerjasama yang baik ini akan memberikan manfaat kepada semua pihak yang terlibat dalam pemantauan dan pengurusan infrastruktur telekomunikasi di Sabah.
Turut hadir ialah Setiausaha MPP, Robert Malangking, Timbalan Setiausaha MPP, Andresia Lojingau, dan Pengurus QTSB, Hermi Pilson, antara lain.