IPOH: Mendekati mangsa dengan menyamar sebagai pegawai bantuan sebelum melarikan diri bersama wang kononnya untuk proses permohonan dan membuka akaun bank.
Itu taktik dikesan yang dilakukan lelaki warga tempatan bagi memperdayakan mangsa hingga menyebabkan kerugian lebih RM16,000.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, berdasarkan siasatan, lelaki berusia 49 tahun itu menyasarkan mangsa dalam kalangan warga emas berusia 50 hingga 80 tahun.
Katanya, kebanyakan mangsa ditemui di kawasan berhampiran hospital, bank, medan selera, pasar raya, pasar awam dan stesen bas.
“Suspek yang menyamar sebagai pegawai bantuan E-Kasih meminta mangsa menyerahkan wang tunai antara RM300 hingga RM1,000 bagi proses permohonan bantuan dan membuka akaun bank.
“Setelah memperoleh wang tersebut, suspek kemudiannya akan berpura-pura keluar dari bank untuk membuat salinan kad pengenalan mangsa.
“Penipuan itu hanya disedari mangsa setelah lelaki tersebut tidak kembali ke bank berkenaan. Selain wang tunai, suspek turut melarikan kad pengenalan mangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil maklumat dan risikan dijalankan, lelaki terbabit berjaya ditahan semula pada 2 Julai lalu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Kedah.
Katanya, turut dirampas sebuah telefon bimbit dan pakaian yang digunakan suspek semasa memperdaya mangsa-mangsa.
“Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau dengan kesemuanya berkaitan kes penipuan,” katanya.
Tambah Azizi, dengan penahanan suspek, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Perak telah membuka 38 kertas siasatan melibatkan kerugian RM16,250 dan berjaya memperoleh 36 pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 417 kanun sama.
“Pendakwaan ke atas suspek akan dimulakan esok (Rabu) sehingga 6 Ogos depan melibatkan Mahkamah Majistret Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Manjung dan Hilir Perak,” ujarnya.