Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik menjadi sandaran utama negara bagi acara beregu di Sukan Olimpik Paris 2024.
PETALING JAYA: Hanya beberapa hari sahaja lagi Sukan Olimpik Paris 2024 akan membuka tirai temasya dan sebaik obor dinyalakan, maka bermulalah perebutan pingat dengan Kontinjen Malaysia masih lagi memburu pingat emas pertama dalam sejarah.
Menurut Utusan Malaysia, untuk sekian kalinya, sasaran pingat emas Malaysia masih terletak di bahu barisan pemain badminton.
Suka atau tidak suka, badminton merupakan sandaran paling realistik untuk emas pertama negara dituai.
Tanpa menyebut nama yang spesifik, peluang membawa pulang pingat emas berada di tangan kesemua pemain badminton negara iaitu beregu lelaki dan wanita, perseorangan lelaki serta beregu campuran.
Bagi perseorangan wanita yang digalas oleh pemain No. 33 dunia, Goh Jin Wei, kita perlu berpijak kepada bumi yang nyata di mana sangat sukar untuk dia menghadirkan kejutan pada temasya terbesar di dunia itu.
Jika kesemuanya berjalan lancar dengan persediaan yang dibuat menjelang Olimpik berada di landasan terbaik termasuk sedikit tuah diperlukan, maka, pingat emas itu sebenarnya boleh hadir melalui beregu No. 5 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan No. 7 dunia, Lee Zii Jia.
Dua lagi calon iaitu beregu wanita No. 13 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah dan gandingan campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menghuni ranking No. 9 dunia turut tidak boleh diketepikan potensi mereka.
Walaupun undian yang keluar, Pearly-Thinaah berada dalam kumpulan maut bersama-sama bintang No. 1 dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China, tetapi, peluang itu tetap ada dan bukannya mustahil.
Untuk sukan berbasikal trek, sandaran masih diletakkan di bahu ‘The Pocket Rocket Man’, Datuk Mohd Azizulhasni Awang melalui acara keirin dan pecut.
Bukan untuk tidak menidakkan bekas juara dunia itu, peluang untuk beliau menjelmakan pingat emas pada penampilannya kali ini kadar peratusannya sedikit rendah berbanding sewaktu temasya di Tokyo, Jepun.
Azizulhasni yang kini berusia 36 tahun dan mengambil kira juga masalah kesihatan yang melanda anak jati Terengganu itu, jika dinilai dari segi realistik memang berat tanggungjawab sebenarnya untuk beliau menjelmakan impian pingat emas negara itu.
Namun, kita tidak boleh menolak rezeki dan tuah yang mungkin berpihak kepada Azizulhasni kerana dengan semangat juang tinggi yang ada dalam diri pemenang pingat perak menerusi acara Keirin di Tokyo tersebut, maka, peluang beliau tidak boleh diketepikan.
Oleh disebabkan faktor tersebut, beliau turut dinamakan antara wakil negara yang mampu menghadirkan pingat emas selepas badminton.
Bagi sukan-sukan lain seperti memanah, akuatik (terjun dan renang), angkat berat, pelayaran, golf, basikal lebuh raya dan menembak, Malaysia bukanlah hadir sebagai pencabar besar di Paris.
Untuk memanah peluang itu bukan tidak ada, tetapi, elemen kejutan mungkin diperlukan pemanah negara termasuk tuah seperti bantuan angin pada hari pertandingan, manakala, terjun, wakil Malaysia kali ini memang tidak diletakkan harapan pingat.