Shahelmey (depan-enam kiri) merakam gambar kenangan bersama komuniti setempat di PPR Taman Sri Serigai, Putatan hari ini
PUTATAN: “Sejak menjadi wakil rakyat sehingga hari ini, setiap hari saya menerima permohonan dan rayuan rakyat yang memerlukan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR).”
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, langkah penyelesaian yang diperlukan pada masa kini adalah untuk mendapatkan projek pembinaan rumah PPR yang baharu bagi kawasan Parlimen Putatan.
Beliau, yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, setakat ini hanya ada dua PPR yang dibina di daerah tersebut iaitu PPR Taman Sri Keramat dan PPR Taman Sri Serigai.
Sempena lawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada minggu depan, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan akan mengemukakan sekali lagi permohonan untuk membina PPR di Putatan.
“Sekiranya dapat bina sebuah PPR di Sembulan dan sebuah lagi di Tanjugn Aru, ia adalah satu rancangan atau pelaksanaan yang begitu bertepatan sekali memandangkan keperluan PPR begitu tinggi di kawasan pinggir bandar raya Kota Kinabalu ini,” katanya ketika Program Jiwa Komuniti Madani dan Program menyaksikan siaran langsung Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong di PPR Taman Sri Serigai, hari ini.
Menurut beliau, permohonan membina rumah PPR di Putatan telah dikemukakan sebelum ini namun, dalam Belanjawan 2024, hanya satu pembinaan rumah PPR diluluskan di Sabah iaitu PPR Kuala Penyu.
Menyentuh peruntukan RM320 juta bagi menyelesaikan air di Sabah, Shahemley berkata, kerajaan Persekutuan telah mengecualikan kejuruteraan nilai bagi proses pra-perolehan.
Maka, pelaksanaan panggilan tender bagi perolehan boleh dilakukan bagi membolehkan saluran peruntukan untuk pengeluaran surat setuju terima diberikan pada bulan ini atau bulan depan.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, sudah lebih setahun selepas pengumuman peruntukan diberikan namun, pelbagai peringkat pengurusan perlu diikuti dan birokrasi sebegitu mengakibatkan proses pelaksanaan agak lewat.
Mengulas lanjut katanya, menyaksikan siaran langsung istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong bersama komuniti setempat dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai acara bersejarah pada hari ini.
Biarpun siaran langsung sebegitu boleh disaksikan di rumah namun, dengan menonton beramai-ramai dalam dewan sebegitu, ia membolehkan masyarakat bertukar-tukar fikiran mengenai adat istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong, katanya.


































