Skrin komputer pembayaran di sebuah pasar raya di Sydney bertukar biru selepas gangguan siber global melanda seluruh Australia, kelmarin.
SYDNEY: Australia mengesan laman web berniat jahat dan kod tidak rasmi dalam talian yang mendakwa membantu pemulihan daripada gangguan siber global, yang menjejaskan banyak negara seluruh dunia, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Australia adalah antara kebanyakan negara yang terjejas gangguan disebabkan kemas kini kepada perisian yang dibangunkan oleh firma keselamatan siber, CrowdStrike.
Direktorat Isyarat Australia (ASD), agensi perisikan siber negara itu, berkata beberapa laman web berniat jahat dan kod tidak rasmi dikeluarkan, mendakwa kononnya dapat membantu entiti pulih daripada gangguan meluas akibat insiden teknikal CrowdStrike.
Menerusi laman webnya pada Sabtu, ASD berkata, pusat keselamatan siber menyarankan semua pengguna untuk mendapatkan maklumat teknikal dan kemas kini mereka daripada sumber rasmi CrowdStrike sahaja.
Sementara itu, Menteri Keselamatan Siber, Clare O’Neil dalam hantaran di platform media sosial, X mengingatkan rakyat Australia supaya berhati-hati terhadap kemungkinan penipuan dan cubaan memancing data.
Gangguan yang berlaku semalam, mengakibatkan bank terbesar di Australia, Commonwealth Bank of Australia terjejas sehingga beberapa pelanggannya tidak dapat melakukan transaksi pemindahan wang.
Ia turut memberi kesan kepada syarikat penerbangan tempatan, Qantas dan Lapangan Terbang Sydney kerana pesawat mengalami kelewatan.
Perdana Menteri, Anthony Albanese berkata, gangguan itu tidak memberi kesan kepada infrastruktur kritikal, perkhidmatan atau sistem telefon kecemasan.
CrowdStrike, yang sebelum ini mencapai nilai pasaran sekitar AS$83 bilion (RM389 bilion), adalah penyedia keselamatan siber utama dengan hampir 30,000 pelanggan di seluruh dunia.


































