Saifuddin Nasution Ismail
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan proses untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berhubung kewarganegaraan akan diteruskan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya juga telah meneliti cadangan balas yang dikemukakan oleh Perikatan Hak Kewarganegaraan Malaysia (MCRA) mengenai beberapa perkara berkait pindaan peruntukan hak kewarganegaraan.
Beliau berkata, kementeriannya juga telah dijemput untuk membentangkan kepada Majlis Raja-Raja sekali lagi untuk memperhalusi beberapa perkara bersama dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
“Saya bersedia mendengar dan telah menerbitkan angka terkini kerana mereka menyebut satu angka kanak-kanak yang mereka istilahkan sebagai ‘stateless’ sebanyak 16,000 itu sebenarnya tinggal 9,000 (kini).
“Saya minta mereka kemukakan senarai dengan KDN kerana kami boleh padankan. Paling penting angka itu bukanlah angka yang mereka catit tetapi mestilah yang telah membuat permohonan, barulah kita boleh bantu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan surat keputusan kewarganegaraan di Pangsapuri Sri Kelantan, Sentul di sini, hari ini.
Sementara itu, Saifuddin berkata, hasil perbentangan bersama MRCA akan diumumkan mengikut minit mesyuarat rasmi yang dikeluarkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
“Dalam pertemuan dengan Pengerusi SUHAKAM, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus di pejabat saya, saya berpeluang untuk menerangkan setiap cadangan pindaan dan saya mendengar pandangan belas.
“Antara persetujuan kami adalah mengenai permohonan warganegara, KDN perlu untuk mengadakan satu prosedur standard operasi (SOP) dalam kes permohonan warganegara yang sebelum ini tidak diangkat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membawa isu kewarganegaraan bagi kes anak angkat supaya mendapatkan maklumat berkenaan ibu kandung supaya permohonan kewarganegaraan dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Jangan hanya dekati anak dan ibu angkat sebaliknya cuba dapatkan maklumat yang lebih terperinci, apakah masih berhubung dengan ibu kandung.
“Saya hargai kerja kuat NGO tetapi utamakan betul-betul hendak selesaikan masalah bukan bawa satu isu kemudian kita anggap sebagai mewakili kes keseluruhannya,” katanya.
Terdahulu, pada 24 Mac lepas, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024, telah dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat, antara lain bertujuan menurunkan had umur untuk memohon kewarganegaraan daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun.


































