Kim Pan Gon menjadi jurulatih kegemaran peminat bola sepak Malaysia.
PETALING JAYA: Prestasi skuad Harimau Malaya tidak akan terjejas meskipun tidak lagi dibawah bimbingan Kim Pan Gon susulan peletakan jawatannya berkuatkuasa serta-merta kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, bekas pengendali Harimau Malaya itu, percaya stabiliti skuad kebangsaan tidak akan ‘goyang’ kerana sistem dalam pasukan itu telah sistematik dan hanya perlu diteruskan.
Tegasnya, dia sudah pun mewujudkan sistem yang mantap dalam skuad kebangsaan yang mana ia tidak akan terganggu dengan ketiadaan ketua jurulatih sekali gus dia mengharapkan semua pihak dapat terus memberi sokongan kepada barisan kejurulatihan sedia ada.
“Kekuatan saya adalah mewujudkan sistem dan sistem itu sudah ada, jadi ia tidak akan terjejas walaupun seorang jurulatih keluar daripadanya. Kita ada sistem itu di Malaysia dan saya percaya skuad kebangsaan kita tidak akan goyah.
“Kita sudah memberikan sokongan, komitmen yang sepenuhnya, pengetahuan dan ini semua ada teras yang sudah dibentuk apabila saya membimbing skuad kebangsaan. Saya percaya kami sudah berkongsi segalanya.
“Jadi, tidak perlu risau (dengan ketiadaan saya) kerana anda perlu berbangga dan percaya pada diri sendiri. Jadi semua pihak perlu terus memberikan sokongan kepada bola sepak Malaysia kerana bola sepak Malaysia memiliki potensi,” kata Pan Gon.
Kekosongan ditinggalkan Pan Gon menyaksikan pembantu jurulatih, Pau Marti Vicente dilantik sebagai pemangku ketua jurulatih dan dibantu oleh E Elavarasan.
Keputusan Pan Gon untuk meninggalkan Harimau Malaya tidak disertai barisan kejurulatihan yang bersamanya menyertai skuad kebangsaan pada Januari 2022, susulan mereka memilih untuk kekal sehingga kontrak berakhir Disember 2025.
Kakitangan kejurulatihan yang akan terus berkhidmat bersama skuad kebangsaan adalah penolong jurulatih, Park Bobae; jurulatih penjaga gol, Cho Junho; jurulatih kecergasan, Jihyeon Park dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun.
Sementara itu, Pan Gon juga berbangga kerana dapat mewujudkan falsafah bola sepak negara dengan corak permainan yang lebih menghiburkan dan banyak menyerang.
“Kita mahu proaktif, mengawal dan mendominasi permainan untuk mencari kemenangan. Kita cuba jadikan ini sebagai watak bola sepak Malaysia dan bermain secara positif dengan menyerang.
“Kita tidak boleh menjadi negatif dan membiarkan pasukan lawan mengawal kita. Kita perlu menjadi yang sebaliknya dan kita sentiasa menunjukkan semangat juang tinggi walaupun ketinggalan dalam perlawanan,” ujarnya.

































