Hajiji (kanan) bersalaman dengan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam semasa tiba untuk persidangan DUN hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus komited dalam menyelesaikan isu kemiskinan tegar di negeri ini, selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri pada 31 Mei lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, pengumuman Perdana Menteri itu merupakan satu kepercayaan bahawa beliau yakin kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mampu untuk menoktahkan miskin tegar berdasarkan tempoh yang telah dinyatakan.
Katanya, meskipun kerja-kerja lapangan dibatasi oleh keadaan geografi Sabah yang unik, Kerajaan Negeri akan tetap menyokong aspirasi Perdana Menteri untuk direalisasikan pada bulan Julai ini.
“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan melanjutkan tempoh sekiranya perlu,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan-pertanyaan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang), Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik), Jannie Lasimbang (Kapayan), Dr. Aliakbar Gulasan (ADUN Dilantik) dan Datuk Jonnybone Kurum (Telupid).
PENUBUHAN TASK FORCE
Ketua Menteri berkata, sebagai komitmen dan sokongan terhadap pengumuman Perdana Menteri, beliau telah mengarahkan Sekretariat Sabah Maju Jaya (Sekretariat SMJ) bersama dengan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (PPN Sabah) untuk menubuhkan Special Task Force bagi mempercepatkan agenda menoktahkan miskin tegar di negeri ini.
Menurutnya, objektif utama Special Task force ini adalah pelaksanaan gerak kerja pemutihan dan profiling miskin tegar di lapangan dalam mengenal pasti status terkini Ketua Isi Rumah (KIR) berdasarkan locked figure (LF) miskin tegar.
“Seterusnya, bagi KIR yang masih diklasifikasikan sebagai miskin tegar, intervensi dan pemadanan bantuan yang bersesuaian akan diberikan kepada Ketua Isi Rumah tersebut.
“Special Task Force ini juga bekerjasama dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat Daerah bagi membantu kerja di lapangan. Secara asasnya, Special Task Force ini bertanggungjawab untuk melihat semula status terkini KIR bagi tujuan penyelarasan data di dalam sistem eKasih. Manakala, urus setia program akan melaksanakan intervensi bantuan terhadap KIR yang telah dikenal pasti bagi tujuan penyaluran bantuan berdasarkan padanan dan keperluan KIR.
“Sekretariat SMJ sebagai urus setia Program Menoktahkan Miskin Tegar di Negeri Sabah akan bertindak untuk menyelaras data KIR yang berstatus miskin tegar yang telah menerima bantuan seterusnya dipadankan dengan bantuan bersesuaian.
“Aktiviti pemadanan dan intervensi bantuan merupakan kerjasama bersama 27 Agensi pemberi bantuan di dalam program ini yang terdiri daripada 10 kementerian negeri Sabah, sembilan agensi Kerajaan Negeri, tujuh agensi Kerajaan Persekutuan dan satu pemain industri,” jelasnya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri telah membangunkan 13 indikator untuk menentukan kesahihan status miskin tegar.
Indikator ini juga bertujuan untuk memberi keutamaan kepada jenis bantuan yang perlu diberikan secara bersasar dan tepat, tambahnya.
ANGKA LOCKED FIGURE
Ketua Menteri berkata, pada 13 September 2023, seramai 22,510 KIR dan 94,315 Ahli Isi Rumah (AIR) merupakan locked figure (LF) dalam sistem eKasih bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar di Sabah.
Setakat 30 Jun 2024, katanya, angka tersebut telah pun berubah kepada 5,379 KIR berstatus miskin tegar dengan penurunan sehingga 76.1%.
Katanya, seramai 17,131 KIR yang telah berubah status adalah disebabkan faktor berikut:
- 14,146 KIR didapati telah berubah status kepada miskin dengan jumlah pendapatan isi rumah di antara RM1,218 sehingga RM2,742;
- 2,093 KIR didapati telah berubah status kepada melebihi paras miskin dengan jumlah pendapatan melebihi RM2,742;
- 477 KIR didapati telah meninggal dunia tapi masih dalam senarai locked figure;
- 394 KIR tidak dapat dikesan; dan
- 21 KIR telah pun berpindah negeri.
Hajiji berkata, berdasarkan angka locked figure (LF) 22,510 KIR, hasil semakan bersama Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU) juga menunjukkan bahawa seramai 3,531 KIR memiliki tanah bergeran.
PADANAN INTERVENSI BANTUAN KERAJAAN
Beliau menjelaskan, sejak bermula gerak kerja Sekretariat Sabah Maju Jaya dan agensi-agensi pemberi bantuan negeri yang lain, sebanyak 45,998 intervensi dan bantuan telah diberikan kepada KIR dan AIR miskin tegar untuk meningkatkan ekonomi mereka.
Katanya, bagi bantuan Kerajaan Negeri, salah satu teras utama Program Menoktahkan Miskin Tegar di Sabah adalah dengan menyediakan bantuan perumahan di bawah Program Rumah Mesra SMJ. Setiap DUN diperuntukkan 20 unit rumah setiap tahun bermula tahun 2022.
Sepanjang tempoh tiga tahun ini, sebanyak 4,482 Rumah Mesra SMJ telah diperuntukkan.
“Setakat ini 1,709 unit rumah telah disiapkan dan diserahkan kepada isi rumah miskin tegar. Selain itu, seramai 264 KIR telah menerima bantuan baik pulih rumah di bawah seliaan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP).
“Bagi bantuan pekerjaan, seramai 95 KIR dan AIR telah diberi pekerjaan dalam sektor kerajaan di bawah program MySMJ Profiling dan MySMJ Kerja:DO. Manakala, seramai 15 AIR telah diambil bekerja dalam Syarikat Berkepentingan Kerajaan bagi program MySMJ Kerja:GLC. Seramai 102 Ahli Isi Rumah pula telah diambil bekerja oleh pemain-pemain industri melalui program MySMJ Kerja:Industri.
“Dalam bidang pendidikan, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-tugas Khas) telah memberikan Bantuan Pendaftaran IPT Secara One-Off melibatkan 5,767 AIR yang menyambung pengajian di peringkat pengajian tinggi. Bantuan bernilai RM2,000 untuk setiap seorang ini diberikan bertujuan untuk mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah. Seramai 6,737 AIR Miskin Tegar menerima Bantuan Khas Tunai Peperiksaan iaitu bantuan kewangan untuk menghadapi peperiksaan SPM/ STPM. Bantuan Ihsan Komputer iaitu bantuan komputer riba turut diberikan kepada 710 AIR yang sedang melanjutkan pendidikan di pengajian tinggi.
“Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri Sabah juga memberi manfaat kepada 2,865 bayi kelahiran Sabah. Majoriti penerima manfaat daripada bantuan-bantuan ini adalah dari golongan miskin tegar.
“Di bawah bantuan kebajikan, daripada 68,700 penerima bantuan kebajikan di seluruh Sabah, seramai 4,266 merupakan golongan miskin tegar di dalam locked figure (LF).
Bagi menambah baik bantuan kebajikan Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) berhasrat untuk meningkatkan elaun bantuan kebajikan daripada RM350 kepada RM600 bagi setiap miskin tegar.”
Bagi Bantuan Kerajaan Persekutuan, Ketua Menteri berkata, intervensi bantuan daripada Kerajaan Persekutuan turut memberi impak yang besar dalam menurunkan angka kemiskinan tegar di negeri Sabah.
Sebagai contoh, katanya, seramai 18,494 KIR dalam senarai e-Kasih merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi tahun 2024.
“Setiap penerima akan diberikan bantuan kewangan bernilai di antara RM200 hingga RM1,200 setahun. Manakala, seramai 16,941 KIR menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang bernilai RM450 hingga RM1,200 setahun bagi setiap KIR.
“Bagi Program Inisiatif Pendapat Rakyat (IPR) di bawah seliaan pihak SEDIA, seramai 487 KIR telah menerima bantuan iaitu seramai 252 KIR untuk program IPR-BMT, 230 KIR untuk IPRINTAN dan lima KIR untuk IPR-INSAN. Program-program ini meliputi pelbagai program keusahawanan seperti mesin layan diri, kedai runcit, pertanian dan perikanan yang memfokuskan kepada peningkatan ekonomi.”
Dalam memperkasakan bidang keusahawanan miskin tegar, kata Hajiji, seramai 3,439 AIR merupakan Sahabat Usahawan di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia. Inisiatif ini merupakan suntikan dana untuk menjalankan perniagaan dan membuka peluang kepada golongan Miskin Tegar dalam menambah pendapatan isi rumah.
KEKANGAN PELUANG PEKERJAAN
Beliau berkata, secara realitinya, dalam berusaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan miskin tegar, sama ada sektor kerajaan dan swasta, pelbagai faktor perlu diambil kira seperti tahap produktiviti dan juga tahap pendidikan golongan miskin tegar.
“Secara amnya, analisis mendapati seramai 9,356 KIR iaitu 42% tidak mempunyai sebarang kelulusan akademik, 4,601 KIR atau 20% hanya memiliki pendidikan sehingga Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Manakala, 3,690 KIR atau 16% hanya menamatkan pengajian setakat Penilaian Menengah Rendah (PMR), 4,725 KIR atau 21% memperoleh pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan hanya 1% atau 269 KIR memiliki pendidikan sehingga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Kemahiran.
“Berdasarkan statistik ini, ianya mengambarkan kesukaran golongan miskin tegar untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan atas faktor tidak memiliki sijil pelajaran. Berdasarkan angka terkini 5,379 KIR, seramai 1,919 KIR atau 35% tidak mempunyai sijil pelajaran, justeru, peluang pekerjaan yang boleh diberikan adalah terhad.”
PENURUNAN DATA LAPAN DAERAH TERMISKIN
Mengulas kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Menteri Ekonomi di Dewan Rakyat berkenaan lapan daerah termiskin di Malaysia, Ketua Menteri berkata, pelaksanaan dan penyelarasan oleh Kerajaan Negeri adalah berpandukan kepada data eKasih yang merupakan pangkalan data kemiskinan utama di Malaysia.
“Suka saya maklumkan, daerah-daerah tersebut telah menunjukkan penurunan jumlah KIR miskin tegar setakat 30 Jun 2024. Bagi Tongod, ia menurun daripada 649 KIR kepada 205 KIR; di Beluran berkurang daripada 1,101 KIR kepada 334 KIR; Daerah Pitas menurun daripada 1,642 KIR kepada 443 KIR; di Kinabatangan menurun daripada 483 KIR kepada 168 KIR; di Kota Marudu menurun daripada 1,391 KIR kepada 253 KIR; Tuaran menurun daripada 1,054 KIR kepada 282 KIR; Ranau menurun daripada 1,205 KIR kepada 239 KIR; dan Lahad Datu menurun daripada 526 KIR kepada 259 KIR.”
PENGLIBATAN KOMUNITI
Hajiji berkata, sesungguhnya Kerajaan Negeri amat menggalakkan dan mementingkan penglibatan komuniti dalam pembuatan keputusan untuk menangani kemiskinan tegar di negeri ini.
Katanya, penglibatan, sokongan dan kerjasama komuniti dalam pembuatan keputusan sangat penting bagi memastikan pelbagai program dan inisiatif pembasmian kemiskinan tegar yang dilaksanakan berpaksikan kepada keperluan sebenar dan memenuhi ekspektasi komuniti setempat.
“Program Menoktahkan Miskin Tegar ini juga melibatkan komuniti di seluruh Sabah melalui sesi libat urus Sekretariat Sabah Maju Jaya bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Perbandaran Sandakan, Majlis Perbandaran Tawau, 35 Pejabat Daerah termasuk Pejabat Daerah Kecil dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri. Program ini turut melibatkan kerjasama daripada pimpinan akar umbi iaitu melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kerja-kerja lapangan MySMJ:Profiling.
“Kita mengakui terdapat keterbatasan dalam menjadikan hasrat menoktahkan kemiskinan tegar menjadi realiti. Namun, kita yakin dan percaya dengan kolaborasi di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan serta pemantauan yang berterusan, sasaran menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini atau tahun depan akan dapat direalisasikan.”


































