Mohd. Hamsan Awang Supain
KOTA KINABALU: Sebanyak enam program latihan telah dilaksanakan yang melibatkan seramai 517 Ketua Adat setakat Jun tahun ini.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Mohd. Hamsan Awang Supain berkata, program tersebut melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM370,010.
Katanya, sebanyak 13 program latihan telah dilaksanakan yang melibatkan seramai 462 Ketua Adat pada tahun 2022.
“Peruntukan kewangan yang diperuntukkan untuk latihan pada tahun 2022 adalah sebanyak RM150,000.
“Manakala, pada tahun 2023, sebanyak 14 program latihan telah berjaya dilaksanakan yang melibatkan seramai 578 Ketua Adat.
“Peruntukan kewangan yang diperuntukkan untuk latihan pada tahun 2023 adalah sebanyak RM200,000,” kata Mohd. Hamsan yang juga ADUN Sungai Sibuga pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaanJannie Lasimbang (Kapayan) yang bertanya kepada Timbalan Ketua Menteri II dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berapakah latihan yang telah dijalankan dan bilangan Ketua Adat yang dilatih pada tahun 2022-2023 untuk mereka menjalankan tugas dengan baik serta berapakah peruntukan kewangan yang diperuntukkan untuk latihan tersebut.


































