BEIJING: Varian baharu Covid-19 yang merebak di peringkat global tidak mungkin mencetuskan gelombang jangkitan baharu di China.
Hal ini kerana ia menyumbang sebahagian kecil daripada kes tempatan yang sudah berada pada tahap rendah.
Menurut Utusan Malaysia, pihak berkuasa kesihatan China berkata, cabang strain Omicron, KP.2 mula dikesan di India pada awal Januari.
Varian baharu itu tersebar di peringkat antarabangsa dan menjadi strain dominan di Amerika Syarikat (AS), sekali gus menunjukkan wabak Covid-19 masih berlarutan empat tahun sejak ia pertama kali diisytiharkan.
China mengesan kes KP.2 tempatan pada Mac di wilayah Guangdong dan sehingga 12 Mei, terdapat 25 kes yang dilaporkan di seluruh negara.
“Perkadaran kes KP.2 dalam laporan mingguan tempatan adalah antara 0.05 peratus hingga 0.3 peratus, iaitu tahap yang sangat rendah,” kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dalam artikel yang diterbitkan kelmarin.
Berikutan penurunan kes varian JN.1 di China, pakar percaya kemungkinan KP.2 menjadi strain Covid-19 yang dominan secara tempatan atau mencetuskan gelombang jangkitan baharu adalah rendah.
Menurut CDC, JN.1 ialah strain dominan semasa di negara itu.
Sejak 3 Mei lalu, KP.2 dimasukkan dalam senarai varian Covid-19 dalam pemantauan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memberi isyarat kepada pihak berkuasa kesihatan awam membuat pemerhatian yang lebih ketat.
Menurut ABC News, KP.2 kini merupakan strain COVID-19 yang dominan di AS yang menyumbang kira-kira 28.2 peratus jangkitan, meningkat daripada 1.4 peratus pada pertengahan Mac.
Strain itu juga sudah sampai ke negara Barat lain seperti United Kingdom (UK) dan Australia.
Di Asia, Thailand melaporkan beberapa kes KP.2, dengan akhbar tempatan Bangkok Post menyatakan minggu lalu bahawa sembilan jangkitan sudah dikesan.


































