Lee Zii Jia
PETALING JAYA: Pemain badminton perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia berpeluang untuk membalas dendam ke atas Lu Guang Zu dari China selepas kedua-dua seteru ketat itu akan bertemu pada suku akhir Terbuka Thailand di Bangkok, Thailand, hari ini.
Zii Jia yang menghuni ranking No. 10 dunia dan diletakkan sebagai pilihan keenam mengambil masa 36 minit untuk menewaskan pemain ke-43 dunia, Jeon Hyeok Jin dari Korea Selatan 22-20, 21-7 pada peringkat 16 terbaik, kelmarin.
Walaupun rekod pertemuan berpihak kepada Zii Jia 4-2, namun, anak jati Kedah itu tewas kepada Guang Zu yang berada di tangga No. 19 dunia dalam pertemuan terakhir mereka pada Terbuka Malaysia, awal tahun ini.
Justeru, menjelang kejuaraan di laman sendiri iaitu Malaysia Masters, minggu depan, amat penting untuk Zii Jia memburu kemenangan ke atas Guang Zu bagi meningkatkan lagi keyakinannya terutama berdepan pencabar yang kuat.Zii Jia ketika ditemu bual Spotv selepas perlawanan berakhir berkata, permainan dalam set pertama agak sukar, tetapi, dia muka beraksi dengan lebih tenang apabila berjaya mendapatkan rentak permainan dalam set kedua.“
Saya gembira boleh menang perlawanan ini dan buat masa ini, saya masih mencari persembahan terbaik saya,” katanya ketika ditanya persiapannya menjelang Sukan Olimpik di Paris, Julai ini.
Nasib berbeza menimpa seorang lagi pemain perseorangan Malaysia, Leong Jun Hao yang memberikan tentangan sengit sebelum tumpas kepada juara dunia,Kunlavut Vitidsarn dari Thailand 22-20, 14-21, 21-23 dalam masa 1 jam 32 minit.
Jun Hao berkata, perlawanan, kelmarin, memang sangat sukar dan dia tidak dapat mempamerkan permainan yang di mahukannya.“Selepas ini, saya akan pulang ke tanah air untuk buat persediaan Malaysia Masters yang hanya beberapa hari lagi dan buat masa ini, saya mahu fokus kepada pemulihan dulu,” katanya kepada Spotv.
Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, gandingan yang menghuni ranking No. 28 dunia, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri turut mara ke suku akhir selepas mengalahkan pasangan tuan rumah, Pharanyu Kaosamang-Warrapol Thongsanga 21-17, 21-10.Pada suku akhir, Hon Jian-Haikal bakal berdepan beregu Taiwan, Lu Che Ming-Tang Kai Wei.Satu lagi beregu Malaysia, Arif Junaidi-Yap Roy King yang menghuni ranking ke-64 dunia meneruskan rentak kemenangan mereka apabila membenam wakil Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 21-14, 21-13.
Bagaimanapun, ujian getir menanti Arif-Roy King apabila beregu No. 3 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India menanti mereka di suku akhir.


































