Serpihan pesawat Blackshape BK160TR Gabriel dibawa keluar dari ladang kelapa sawit di Kapar pada Februari lalu.
PETALING JAYA: Pesawat ringan Blackshape BK160TR Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Selangor pada 16 Februari lalu dan mengorbankan nyawa juruterbang bersama pembantu juruterbang, berkemungkinan pecah di udara sebelum terhempas.
Menurut Utusan Malaysia, laporan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) berkata, ini berdasarkan serpihan di sekitar kawasan itu menunjukkan kepingan struktur besar pesawat terpisah dari rangka utamanya ketika pesawat masih dalam penerbangan sebelum terhempas.
“Tidak ada petunjuk menandakan berlaku kebakaran sebelum atau selepas pesawat itu terhempas berdasarkan serpihan ditemui di lokasi kejadian,” kata laporan itu.
Dalam nahas tersebut, juruterbang, Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan pembantu juruterbang, Roshaan Singh Raina, 43, maut selepas terbenam bersama bahagian kokpit pesawat di kawasan ladang sawit pada jam 1.45 petang.
Pesawat yang dikendalikan Air Adventure Flying Club itu melakukan penerbangan rekreasi dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 1.28 petang.
Laporan BSKU berkata, mereka yang berada di dalam pesawat tidak akan mungkin terselamat berpandukan kepada impak junaman pesawat berkenaan.
Selain itu, kata laporan itu, pesawat itu juga mempunyai larangan tidak terbang manakala jadual penyelenggaraan berkala didapati tidak teratur dan ada ketikanya dilakukan oleh juruteknik tidak bertauliah.
“Arahan larangan terbang yang dikeluarkan sebelum ini adalah disebabkan pengilang ingin menyiasat punca masalah penunjuk aras minyak,’’ kata laporan itu.
Jelasnya, perkara ini mewujudkan pertikaian terhadap pemilikan pesawat berkenaan namun ia tidak mempengaruhi kelayakan untuk terbang.
Tambahnya, penyelenggaraan dikesan tidak teratur termasuk pemasangan bahagian pesawat adalah tidak disahkan atau tidak mematuhi piawaian serta pemasangan bahagian pesawat dan servis oleh individu tidak berkelayakan.
“Pemasangan tidak sah itu termasuk pengubahsuaian oleh juruterbang dan perkara ini masih disiasat untuk menentukan sama ada ia turut menjadi punca nahas.
“Ada bukti menunjukkan pesawat berkenaan melepasi berat pelepasan maksimum iaitu 850 kilogram,” katanya.
Menurut BSKU, juruterbang pesawat berkenaan yang berusia 30 tahun, adalah tenaga pengajar di Kelab Penerbangan Air Adventure dan disahkan untuk mengajar pesawat Piper PA28 dan Cessna 172 tetapi bukan Blackshape BK 160TR.
Penumpang berusia 42 tahun itu adalah pelajarnya dan belum pernah menerbangkan Blackshape BK 160TR. BSKU berkata, siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada faktor itu mempunyai kaitan dengan kemalangan.


































