Azizah S. Samad
KOTA KINABALU: Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) mendedahkan lima peruntukan kritikal dalam Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) yang didakwa boleh menghakis autonomi imigresen Sabah serta menjejaskan tugas pegawai imigresen di pintu masuk negeri ini.
Presidennya, Azizah S. Samad berkata, pertindihan kuasa yang timbul menerusi pelaksanaan akta itu berpotensi mencetuskan kecelaruan pentadbiran dan menjejaskan penyampaian perkhidmatan imigresen di Sabah.
Beliau berkata, antara isu utama dibangkitkan ialah pengecualian kuasa Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang dianggap terlalu terhad sehingga membuka ruang kepada pencerobohan kuasa negeri.
“Sekiranya Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63 tidak dikecualikan secara khusus daripada bidang kuasa AKPS, kedaulatan wilayah kita tergadai dan hak pentadbiran di pintu masuk kita sendiri dirampas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azizah, Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63 memperuntukkan kuasa eksklusif kepada Pihak Berkuasa Negeri Sabah dalam hal berkaitan imigresen.
Katanya, di bawah sistem sedia ada, kawalan di pintu masuk Sabah diurus sepenuhnya oleh kerajaan negeri, namun Akta 860 dilihat memberi ruang kepada AKPS mengambil alih kawalan tanpa sekatan bidang kuasa yang jelas.
Selain itu, beliau berkata Seksyen 6(3) Akta 860 turut mengandungi kelompongan perundangan berkaitan pengeluaran pas dan permit.
Menurutnya, walaupun AKPS diwajibkan mematuhi arahan Pihak Berkuasa Negeri dalam urusan pemeriksaan keluar masuk individu, fungsi pengeluaran pas dan permit pula terdedah kepada campur tangan agensi itu.
“Kuasa mutlak Ketua Menteri untuk menyekat atau membatalkan pas di Sabah tidak wajar dibiarkan dalam ruang kelabu perundangan. Kuasa ini mesti dihormati dan dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak,” katanya.
Azizah turut membangkitkan isu pemusatan rantaian arahan di bawah Seksyen 4(4) yang meletakkan Ketua Pengarah AKPS sebagai pemegang kuasa mutlak bagi semua arahan dan operasi.
Katanya, keadaan itu boleh memintas peranan Pengarah Imigresen Sabah yang sepatutnya mempunyai kuasa pengawasan terhadap pegawai imigresen di negeri ini.
“Rantaian arahan berpusat ini mengetepikan hierarki Pengarah Imigresen Sabah, lalu meletakkan pegawai kami di lapangan dalam dilema berat berhubung arahan pihak mana yang harus diikuti,” katanya.
Beliau berkata, KPPIS juga membantah Seksyen 8 Akta 860 yang mencadangkan penyelesaian pertindihan fungsi antara AKPS dan kerajaan negeri dibuat secara pentadbiran.
Katanya, pendekatan itu bercanggah dengan jaminan Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) kerana boleh dipinda tanpa kelulusan rasmi Parlimen.
“Autonomi imigresen Sabah bukan sesuatu yang boleh dirunding. Ia adalah hak eksklusif yang tidak boleh dikompromi,” tegasnya.
Dalam masa sama, Azizah berkata Seksyen 7(1) Akta 860 yang memberi kuasa secara pukal kepada pegawai AKPS turut menimbulkan kebimbangan kerana disifatkan melanggar perlindungan autonomi imigresen Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, pelaksanaan akta itu berisiko membuka ruang kepada AKPS bertindak secara bersendirian di pintu masuk Sabah tanpa pemantauan pihak berkuasa negeri.
“Pemberian kuasa secara pukal kepada AKPS ini adalah pencerobohan mutlak terhadap autonomi yang sekian lama melindungi ruang kerja para pegawai imigresen di pintu masuk Sabah,” katanya.
Azizah menegaskan tindakan KPPIS membangkitkan isu berkenaan bukan bertujuan menentang mana-mana pihak, sebaliknya bagi melindungi pegawai imigresen Sabah daripada risiko ketidakpatuhan statutori dan arahan yang melangkaui bidang kuasa perundangan.
































