Tun Musa (kanan) serta para jemputan mengaminkan bacaan doa.
KOTA KINABALU : Amalan menabung secara konsisten dan berdisiplin di Tabung Haji sejak awal antara faktor utama yang membolehkan bakal jemaah haji Sabah terpilih sebagai ‘Tetamu Allah’ bagi musim haji tahun ini.
Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata, keberangkatan para jemaah pada tahun ini bukan sekadar satu perjalanan fizikal, malah merupakan satu anugerah besar yang mencerminkan kesungguhan serta ketekunan luar biasa dalam merancang masa depan kewangan.
“Amalan menabung secara konsisten bukan sahaja mencerminkan perancangan kewangan yang bijaksana, malah menjadi bukti dengan kesabaran, perancangan, dan usaha yang berterusan, seseorang itu mampu mencapai syarat kewajipan untuk menunaikan ibadah haji.
“Saya percaya ini juga mencerminkan kesungguhan, kesabaran dan ketekunan luar biasa oleh Para Bakal Haji yang telah memulakan langkah menabung sejak sekian lama, dengan penuh disiplin dan istiqamah di Tabung Haji, demi mencapai impian untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
“Keupayaan mengurus kewangan secara teliti menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) membuktikan perancangan jangka masa panjang mampu merealisasikan impian menunaikan rukun Islam kelima tersebut,” katanya ketika menyampaikan perutusan Majlis Mengucapkan Selamat Berangkat kepada Jemaah Haji Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Isnin.
Bagi musim kali ini, seramai 1,195 bakal haji dari Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan terdiri daripada 142 jemaah dijadualkan berlepas ke Tanah Suci melalui inisiatif Makkah Route.
Program tersebut merupakan kemudahan pra-pelepasan yang bertujuan mempercepatkan urusan imigresen, kastam dan kesihatan sekali gus memastikan keselesaan maksimum buat para jemaah setibanya di Arab Saudi.
Tun Musa turut menitipkan pesanan agar para jemaah sentiasa menjaga adab, mengekalkan disiplin serta memantau kesihatan sepanjang berada di bumi suci supaya ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna, selain mendoakan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran Sabah serta Malaysia agar terus dilindungi dan diberkati.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor; Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.
































