James Ratib
KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) membidas cubaan pihak tertentu yang didakwa memutarbelitkan kenyataan berhubung isu sekolah daif di negeri ini sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap usaha kerajaan memperkasakan pendidikan di Sabah.
Menterinya, Datuk James Ratib berkata, kenyataan yang dikeluarkan Naib Ketua Wira Warisan Pusat sebelum ini bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah gagal memahami konteks sebenar penjelasan yang telah diberikan kementerian.
Beliau menegaskan bahawa istilah “sekolah daif” dan “bangunan daif” adalah dua perkara berbeza dan tidak boleh disamakan sewenang-wenangnya demi kepentingan politik.
“Sekolah daif merujuk kepada keseluruhan sistem pendidikan dan ekosistem persekolahan termasuk aspek pembelajaran, capaian internet, pengurusan sekolah, akses pendidikan serta keberkesanan sistem persekolahan.
“Bangunan daif pula hanya melibatkan keadaan fizikal bangunan sekolah yang memerlukan penyelenggaraan atau penambahbaikan infrastruktur tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
James berkata, terdapat sekolah yang memerlukan naik taraf bangunan, namun masih mempunyai sistem pembelajaran yang baik, pengurusan cekap serta pencapaian murid yang konsisten.
Katanya, adalah tidak tepat untuk melabel keseluruhan sekolah sebagai daif hanya berdasarkan keadaan fizikal bangunan semata-mata.
Beliau berkata, KPSTI bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sentiasa memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keseluruhan ekosistem pendidikan termasuk aspek pengajaran dan pembelajaran, capaian internet, pembangunan digital, kebajikan murid serta keberkesanan sistem pendidikan secara menyeluruh.
Dalam pada itu, James mengakui masih terdapat cabaran pendidikan di Sabah termasuk isu keciciran pelajar, akses internet, pengangkutan dan kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar serta pulau terpencil.
Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri bersama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan secara berterusan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan 14 inisiatif pendidikan melalui Pejabat Tugas-Tugas Khas di bawah KPSTI dan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) bagi memperluaskan akses pendidikan kepada anak-anak Sabah.
“Inisiatif ini melibatkan bantuan pendaftaran IPT, bantuan komputer, bantuan peperiksaan, bantuan sekolah, bantuan PIBG, bantuan penyelenggaraan sekolah, bantuan mahasiswa serta penghargaan kecemerlangan akademik,” katanya.
Selain itu, James berkata, KPSTI turut memohon peruntukan khas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi pembelian smartboard untuk kegunaan sekolah-sekolah di Sabah.
Menurutnya, penggunaan smartboard mampu mentransformasikan kaedah pengajaran dan pembelajaran agar lebih interaktif, moden serta selaras dengan perkembangan pendidikan digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Katanya, kementerian itu juga telah melaksanakan kursus percuma melibatkan empat Institut Pendidikan Guru (IPG) di Sabah bagi meningkatkan kemahiran tenaga pengajar selaras dengan keperluan pendidikan semasa.
Dalam masa sama, beliau berkata, pemasangan internet di sekolah luar bandar melalui kerjasama dengan pihak YTL kini hampir 80 peratus siap bagi memastikan murid di kawasan pedalaman dapat menikmati akses pendidikan digital.
James turut berkata, KPSTI telah memohon kepada Kementerian Pendidikan Malaysia supaya peruntukan pembinaan dan penyelenggaraan bangunan sekolah berskala 6 dan 7 ditambah memandangkan banyak bangunan lama memerlukan perhatian segera.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus komited memperjuangkan keperluan pendidikan di Sabah demi memastikan anak-anak negeri mendapat akses pendidikan yang lebih baik dan berkualiti.
“Pendidikan adalah soal masa depan anak-anak Sabah dan tidak seharusnya dijadikan bahan politik murahan demi kepentingan tertentu,” katanya.
































